'Mia dah dapat cermin kereta baru' - Aktivis Sabah | The Reporter

‘Mia dah dapat cermin kereta baru’ – Aktivis Sabah

Kereta yang dinaiki Mia tular di media sosial baru-baru ini.
Tangkap layar video tular memaparkan Mia melambai tangan dari dalam kereta uzur yang mencuri perhatian ramai.

isah seorang kanak-kanak dikenali sebagai Mia yang melambai dari dalam kereta tanpa cermin mencuri perhatian ramai selepas video tersebut tular di media sosial baru-baru ini.

Namun di sebalik video yang mengundang simpati itu, tersimpan kisah sebuah keluarga yang tetap tabah menjalani kehidupan biarpun berdepan kekangan kewangan.

Menurut pempengaruh media sosial dan aktivis masyarakat, Adrian Edy, beliau bersama pasukan bantuan berpeluang bertemu Mia serta bapanya, Pakcik Ambarat, 63, di kediaman mereka bagi melihat sendiri keadaan keluarga berkenaan.

Menurut Pakcik Ambarat, kereta yang digunakan keluarga mereka itu dibeli kira-kira tujuh tahun lalu dengan harga RM4,500 dan menjadi kenderaan utama untuk mencari rezeki.

Baca juga:
Cermin pecah sejak Mac lalu

Bagaimanapun, keadaan kereta tersebut semakin uzur apabila cermin belakang pecah sejak Mac lalu, penghawa dingin tidak lagi berfungsi kerana kehabisan gas, manakala pintu belakang kiri dan kanan juga mengalami kerosakan sehingga tidak boleh dibuka.

Lebih menyentuh hati, Pakcik Ambarat yang bekerja sebagai buruh sebelum ini tidak mampu membaiki kerosakan tersebut selepas mengalami kecederaan kaki ketika bekerja pada Mac lalu, menyebabkan dia tidak dapat meneruskan pekerjaan buat sementara waktu.

“Dia memang sayang kereta itu sebab kereta itu yang dia selalu bawa pergi kerja, sampai ke Ranau pun dia bawa,” kata Adrian menerusi perkongsian di media sosial.

Prihatin dengan keadaan keluarga itu, Adrian bersama beberapa pihak membawa kereta tersebut ke bengkel untuk dibaik pulih.

Hasil bantuan pihak terlibat, kereta berkenaan menerima pemasangan cermin baharu, servis penghawa dingin, servis enjin serta penggantian kusyen kereta secara percuma tanpa sebarang bayaran dikenakan kepada keluarga Mia.

Menurut Adrian, kerja-kerja baik pulih itu hanya mengambil masa kira-kira dua jam sebelum kereta berkenaan kembali lebih selesa digunakan, terutama untuk Mia dan keluarganya.

Tetap bersyukur

Dalam perkongsian itu, Adrian turut berkongsi bahawa Pakcik Ambarat tetap bersyukur walaupun berdepan kesukaran kerana masih memiliki kenderaan untuk kegunaan keluarga.

Katanya, lelaki itu percaya rezeki sentiasa luas dan tidak pernah berhenti berdoa agar kehidupan keluarganya dipermudahkan.

Malah, sebelum ini keluarga tersebut pernah melalui detik sukar apabila terpaksa menutup ruang cermin kereta menggunakan plastik ketika hujan turun sewaktu berada di jalan raya.

“Bila kita rasa kita susah, ada lagi yang susah daripada kita,” kata Adrian yang berharap kisah keluarga Mia menjadi peringatan untuk masyarakat terus menyebarkan kebaikan.

Menurutnya, kebahagiaan sebenar bukan hanya bergantung kepada apa yang dimiliki, tetapi apabila seseorang mampu menghargai dan berasa cukup dengan nikmat yang ada.

“Semoga Tuhan hadiahkan kebaikan buat keluarga Pakcik Ambarat, dimurahkan rezeki mereka sekeluarga,” katanya.

Related Posts