Lagi isu bendera dipasang terbalik, MBIP ambil tindakan terhadap premis di SILC | The Reporter

Lagi isu bendera dipasang terbalik, MBIP ambil tindakan terhadap premis di SILC

Jalur Gemilang dan Bendera Johor dipasang terbalik di sebuah premis di SILC
Gambar: Facebook MPIB

Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengambil tindakan tegas terhadap sebuah premis perindustrian di Taman Perindustrian SILC, Iskandar Puteri selepas didapati memasang Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor secara terbalik.

Tindakan itu diambil susulan pemeriksaan yang turut disertai pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Pandak Ahmad.

Menurut MBIP dalam kenyataan pada Rabu, pemilik premis telah diberikan amaran tegas serta diarahkan menurunkan dan membetulkan kedudukan kedua-dua bendera berkenaan dengan serta-merta.

Pemeriksaan lanjut bagaimanapun mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan MBIP yang sah.

Susulan itu, MBIP mengeluarkan satu Notis Henti Niaga kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah, selain satu kompaun kerana mempamerkan papan iklan tanpa lesen MBIP.

Premis berkenaan turut diarahkan menghentikan operasi dan ditutup berikutan kegagalan mematuhi keperluan pelesenan MBIP.

Dalam pemeriksaan sama, seramai 14 pekerja berada di premis itu terdiri daripada dua warga tempatan dan 12 warga asing.

Kesemua warga asing terbabit ditahan dan dibawa ke IPD Iskandar Puteri bagi tujuan siasatan lanjut berkaitan status permit pekerjaan mereka.

MBIP menegaskan pihaknya memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, termasuk aspek pelesenan premis serta tatacara pemasangan dan penghormatan terhadap bendera kebangsaan dan negeri.

Baca juga:

Terdahulu, Pandak Ahmad menggesa MBIP dan pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis berkenaan kerana didakwa tidak menghormati semangat kemerdekaan.

Beliau menyifatkan tindakan memasang Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor secara terbalik sebagai sikap yang negatif dan tidak wajar dipandang ringan.

Pandak turut meminta tindakan segera diambil terhadap pemilik premis, termasuk supaya operasi kilang berkenaan dihentikan buat sementara waktu.

“Tindakan tegas kena diambil terhadap pihak pemilik kerana mereka tidak menghormati hari kemerdekaan kita yang kita sambut tidak berapa lama lagi. Ini satu sikap yang negatif,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat seharusnya mempunyai semangat kenegaraan serta memahami kedudukan Jalur Gemilang yang perlu dipasang dengan betul.

MBIP turut menegaskan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor merupakan lambang kedaulatan, identiti dan maruah yang wajib dihormati serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan di bawah bidang kuasa Majlis.

Related Posts