Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Menganjur kutipan derma untuk wakil rakyat bagi kegunaan parti tidak salah, malah sudah menjadi amalan dalam Pas sejak sekian lama.
Menurut Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, usaha membantu pemimpin parti yang memerlukan sokongan kewangan ini juga tidak bercanggah dengan hukum Islam, kerana amalan bantu-membantu adalah sebahagian daripada tuntutan agama.
Beliau berkata, kutipan ‘derma jihad’ bagi membantu Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, melangsaikan denda saman fitnah melibatkan tiga pemimpin DAP adalah tindakan yang wajar dan dialu-alukan.
“Derma untuk wakil rakyat itu tidak salah. Kita bantu Siti Mastura kerana apa yang dilakukannya bukan untuk kepentingan peribadi tetapi demi parti semasa berkempen pilihan raya,” katanya.
Hashim menjelaskan, sikap tolong-menolong sesama ahli parti adalah perkara biasa dalam Pas. Adalah tidak adil untuk membiarkan Siti Mastura menghadapi tekanan kewangan bersendirian kerana tugas yang dilaksanakannya adalah untuk perjuangan parti.
“Dia buat kerja kerana jemaah, jadi kalau dia sesak, kita kena tolong. Kalau setiap seorang ahli sumbang RM10, jumlah itu mencukupi untuk melangsaikan denda. Ia adalah tanggungjawab bersama,” jelasnya lagi.
Tambahnya, amalan kutipan derma dalam Pas bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya sudah lama dipraktikkan untuk pelbagai tujuan, termasuk kebajikan dan pembangunan parti. Derma yang dikutip adalah berdasarkan kemampuan individu dan bukannya satu paksaan.
Sebelum ini, tersebar surat pekeliling yang meminta ‘derma jihad’ daripada pemimpin Pas di semua peringkat untuk membantu Siti Mastura membayar saman berjumlah RM825,000. Surat itu turut menyatakan, kegagalan melangsaikan saman boleh membawa kepada tindakan prosiding kebankrapan, yang akhirnya akan menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.
Namun, Hashim memaklumkan beliau tidak menerima surat pekeliling tersebut dan tidak melihatnya secara langsung.
“Kalau surat itu ada, tidak menjadi kesalahan. Ini budaya biasa dalam Pas untuk bantu sesama ahli,” katanya.
Beliau juga menyifatkan sebarang kritikan terhadap tindakan tersebut adalah mengikut pandangan masing-masing. “Terpulang kepada mereka. ALLAH SWT akan menilai niat kita,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian