Isu ceroboh tanah yayasan anak yatim, kuil Sri Dewi Mariamman setuju berpindah | The Reporter

Isu ceroboh tanah yayasan anak yatim, kuil Sri Dewi Mariamman setuju berpindah

Wakil yayasan anak yatim dan kuil Sri Dewi Mariamman bersama menunjukkan pelan tapak sebagai simbol penyelesaian aman isu tanah di Port Dickson.
Foto: Sinar Harian

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Isu pencerobohan tanah melibatkan Yayasan Anak-Anak Yatim/Piatu Islam Daerah Port Dickson akhirnya menemui titik noktah selepas lebih sedekad apabila pihak Kuil Sri Dewi Mariamman bersetuju untuk berpindah ke lokasi baharu.

Menurut jurucakap yayasan, Syed Ariffin Abu Tahir, kuil berkenaan didapati dibina di atas tiga lot tanah milik pihak berbeza — iaitu yayasan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) — selepas proses pengukuran semula dibuat.

Katanya, tanah milik yayasan itu telah diberikan oleh kerajaan negeri pada tahun 2007 dan didaftarkan secara rasmi pada 16 Julai tahun yang sama, bertujuan untuk membina asrama anak-anak yatim.

“Hasil beberapa perbincangan dalam suasana yang baik, pihak kuil mengakui kekhilafan mereka dan bersetuju untuk berpindah. Kita bersyukur kerana penyelesaian ini dicapai tanpa menimbulkan isu sensitif,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Jelas Syed Ariffin, pihak yayasan telah mengeluarkan notis rasmi untuk pengosongan kawasan tersebut dalam tempoh dua bulan, iaitu sebelum 9 Jun depan. Langkah ini diambil bagi memberi masa kepada pihak kuil untuk mencari tapak baharu dan membuat persiapan perpindahan.

Dalam pada itu, Setiausaha Kuil, M. Kannan memaklumkan kuil tersebut telah wujud di kawasan itu sejak tahun 1924, ketika tanah tersebut masih merupakan sebahagian daripada Ladang Bukit Palong.

Namun begitu, beliau mengakui pihaknya tidak mempunyai dokumen rasmi yang mengesahkan pemilikan tanah tersebut dan menyatakan mereka tidak berniat menimbulkan ketegangan.

Kami sedar tanah ini bukan milik kami dan telah pun membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan tapak baharu berhampiran. Sekarang kami sedang tunggu jawapan,” katanya.

Tambah beliau, permohonan sebegitu bukanlah yang pertama, malah sudah dimulakan sejak tahun 2000 lagi.

Related Posts