Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh meluahkan rasa kecewa apabila kawasan Dataran Merdeka ditinggalkan dalam keadaan bersepah selepas orang ramai hadir menyaksikan tayangan skrin gergasi perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026.
Menerusi hantaran di media sosial, Hannah berkata beliau percaya rakyat Kuala Lumpur menyayangi bandar raya itu, namun terkilan apabila lokasi bersejarah tersebut tidak dijaga dengan baik selepas orang ramai beredar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang segera turun melakukan kerja pembersihan bagi mengembalikan kebersihan dan keselesaan kawasan bersejarah itu.
“Ketika orang ramai sudah pulang, mereka masih bekerja untuk mengembalikan kebersihan dan keselesaan Dataran Merdeka,” katanya.
Menurut Hannah, setiap pembayar cukai sememangnya berhak menerima perkhidmatan terbaik daripada DBKL, namun masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam menjaga kebersihan ruang awam.
Katanya, membuang sampah ke dalam tong merupakan perkara asas yang sepatutnya dilakukan sendiri oleh setiap individu dan tidak wajar semua tanggungjawab diserahkan kepada petugas awam.
“Hak untuk menerima perkhidmatan tidak bermaksud semua tanggungjawab boleh diserahkan kepada petugas awam. Mereka tidak sepatutnya terpaksa membersihkan sampah yang sengaja kita tinggalkan,” katanya.
Baca juga:
- Premis di Kulai ditutup selepas Jalur Gemilang, bendera Johor dipasang terbalik
- Caprice diperintah mohon maaf, bayar RM220,000 kepada Ebit Lew
- Polis Pahang nafi dakwaan kartel dadah besar beroperasi di Genting Highlands
Beliau menegaskan Dataran Merdeka bukan sekadar lokasi acara, sebaliknya merupakan sebahagian daripada sejarah negara serta melambangkan maruah ibu kota.
Hannah berkata konsep Malaysia MADANI bukan hanya mengenai kerajaan yang menunaikan tanggungjawab, tetapi turut melibatkan rakyat yang memahami hak masing-masing sambil melaksanakan tanggungjawab asas.
“Kuala Lumpur ialah rumah kita. Jangan kotorkan rumah sendiri dan mengharapkan orang lain membersihkannya,” katanya.








