Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak bercadang untuk menukar namanya, walaupun terdapat cadangan serta usul ke arah itu.
Memetik laporan dari Malay Mail, KTMB menegaskan bahawa nama syarikat itu membawa nilai sejarah yang penting dan merupakan teras kepada identiti korporatnya, meskipun ia bukanlah jenama utama yang digunakan untuk pengguna.
“KTMB, yang ditubuhkan pada tahun 1885, kaya dengan sejarah dan menjadi sebahagian penting dalam pembangunan Malaysia. Nama Keretapi Tanah Melayu mencerminkan warisan ini.
“Namun, sebagaimana Malaysia telah melalui evolusi, KTMB juga telah berkembang seiring,” katanya.
Dalam pada itu, KTMB juga memaklumkan telah menambah baik perkhidmatan dari semasa ke semasa demi menyesuaikan diri dengan arus pemodenan, antaranya dengan memperkenalkan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), serta mempertingkat rangkaian KTM Komuter dan KTM Intercity.
Selaras dengan pemodenan
KTMB turut menambah bahawa mereka menggunakan jenama perkhidmatan yang berbeza untuk mendekati pelbagai kumpulan pengguna, seperti ETS, KTM Komuter dan KTM Intercity.
“Kesemua ini merupakan jenama yang dikenali ramai, dan pendekatan pemasaran kami juga mencerminkan kejelasan ini untuk membina identiti jenama yang lebih kukuh di bawah KTMB,” jelas kenyataan itu lagi.
Terdahulu, seorang bekas wartawan mengusulkan cadangan menukarkan nama KTMB. Cadangan itu diutarakan apabila melihat istilah ‘keretapi’ merujuk kepada kenderaan lama manakala, negara sudah lagi tidak dikenali sebagai ‘Tanah Melayu’.
Bagaimanapun, KTMB menyifatkan cadangan tersebut sebagai maklum balas awam yang bernas dan mengalu-alukan peluang untuk memperjelaskan sebarang kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
“Walaupun nama Keretapi Tanah Melayu mencerminkan konteks sejarah, perkhidmatan KTMB adalah berpandangan ke hadapan, sejajar dengan kemajuan teknologi dan penambahbaikan berfokuskan pelanggan,” ujarnya.








