Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Berikut adalah kronologi kejadian:
Hari kejadian: Pagi Jumaat, 23 Ogos 2024, seorang pelancong wanita warganegara India, Vijayaketchumy, 48, dari Andhra, sedang berjalan kaki berhampiran Masjid India bersama keluarga. Ketika itu, tanah mendap secara tiba-tiba berlaku, menyebabkan beliau terjatuh ke dalam lubang benam sedalam kira-kira 8 atau 10 meter.
Rakaman CCTV: Tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Vijayaketchumy berjalan dari Selangor Mansion sebelum terjatuh ke dalam lubang berhampiran kerusi konkrit di hadapan Masjid India.
Mangsa menjerit meminta tolong: Menurut saksi, Vijayaketchumy sempat menjerit meminta tolong ketika kejadian berlaku. Jeritan tersebut menarik perhatian orang ramai yang berada di sekitar kawasan tersebut, namun saksi berhampiran tidak sempat menyelamatkan mangsa.
Mangsa sekeluarga sudah dua bulan di Malaysia: Vijayaketchumy dan keluarganya telah berada di Malaysia selama dua bulan untuk bercuti. Mereka dijadualkan pulang ke India pada hari ini.
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR): Pihak berkuasa menerima laporan kejadian pada jam 8.30 pagi. Operasi SAR melibatkan 35 anggota dan pegawai bomba, 14 kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), 32 anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam dan pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur. Mesin dan jentera DBKL digunakan setelah pencarian manual gagal menemui mangsa.
Penemuan selipar mangsa: Selepas hampir 17 jam operasi SAR, pasukan penyelamat hanya menemukan sepasang selipar milik Vijayaketchumy berhampiran lokasi kejadian. Selipar tersebut ditemui terapung di kawasan yang telah dikorek oleh jengkaut.
Sudah lebih 24 jam, mangsa masih belum ditemui: Operasi mencari dan menyelamat diteruskan selepas lebih 24 jam Vijayaketchumy hilang. Mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras paip kumbahan bawah tanah. Setakat ini, usaha pencarian masih belum berhasil.
Kemungkinan dihanyutkan arus deras: Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, menyatakan Vijayaketchumy mungkin telah dihanyutkan oleh arus deras bawah tanah. Terdapat aliran air yang deras meliputi kawasan hujung bawah tanah lokasi mencari dan menyelamat dilakukan. Operasi SAR tidak boleh dilakukan sesuka hati kerana jika penutupan paip atau parit dibuat, mungkin akan berlaku banjir di lokasi. Oleh itu, perbincangan dengan Indah Water Konsortium adalah penting untuk memastikan operasi berjalan lancar tanpa risiko tambahan.
Bantuan dari Indah Water Konsortium (IWK): Indah Water Konsortium turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat dengan membuka lurang pembentungan sepanjang tujuh kilometer dari Masjid India hingga ke loji rawatan kumbahan IWK di Pantai Dalam. Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, pihaknya akan terus membantu pasukan penyelamat dalam usaha mengesan mangsa.
Keadaan semasa: Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, menyatakan bahawa keadaan sekitar lokasi kejadian masih selamat, namun perbincangan lanjut akan diadakan untuk mempertimbangkan sama ada kawasan tersebut perlu ditutup atau tidak.
Anak mangsa tiba di Malaysia: Anak lelaki sulung mangsa, Surya, 26, baru tiba di negara ini dari Thailand, terus bergegas ke lokasi pada jam 9.30 malma tadi. Surya berkata, “Tolong selamatkan ibu saya”.