Cikgu Istiqomah Ahmad Rozi, seorang guru dari Sekolah Kota Masai 3 di Pasir Gudang, Johor, dilaporkan hilang pada 26 Disember 2023.
Kehilangannya menjadi perhatian ramai apabila mayat tanpa kepala dan tangan ditemui pada 31 Disember 2023 di dalam tong sampah di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Melaka.

Kronologi Kes
- 26 Disember 2023: Cikgu Istiqomah dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas gagal pulang ke rumah. Telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi. Pada hari kejadian, mangsa tidak bekerja kerana cuti sekolah. Mohd Yusof, suaminya, berkata isterinya tidak memaklumkan dia akan keluar ke mana-mana. Apabila bertanya pada anak, mereka beritahu ibu mereka pergi ke sekolah. Namun, pengawal keselamatan sekolah memaklumkan isterinya tidak datang ke sekolah.
- 27 Disember 2023: Kereta milik Cikgu Istiqomah ditemui di parkir sebuah pasar raya di Kota Masai. Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki keluar dari kereta tersebut, tetapi kelibat Cikgu Istiqomah tidak kelihatan.
- 28 Disember 2023: Suaminya, Mohd Yusof Mokhtar, 35, berikhtiar pelbagai cara untuk mencari isterinya termasuk mendapatkan khidmat pakar perubatan Islam. Seorang ustaz memaklumkan, isterinya mahu pulang tetapi dihalang di mana seperti ada ‘seseorang’ yang memegangnya.
- 31 Disember 2023: Mayat tanpa kepala dan tangan ditemui di dalam tong sampah di Kampung Tanjung Rimau. Penemuan ini menggemparkan penduduk setempat.
- 6 Januari 2024: Polis mengesahkan bahawa kepala, tangan, dan kaki mangsa telah dipotong dan tidak ditemui di lokasi penemuan mayat.
- 2 Ogos 2024: Ujian DNA mengesahkan identiti mayat tersebut sebagai Cikgu Istiqomah.
- 12 Ogos 2024: Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dalam pembunuhan tersebut di Chemor, Perak.
Difahamkan, mangsa dan suspek yang merupakan bekas guru, pernah menuntut di universiti yang sama. Sebelum kejadian, mangsa berjumpa dengan suspek untuk berbincang mengenai pelaburan forex, namun perbincangan tidak menjadi.
Kes ini masih dalam siasatan lanjut.
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian








