Penyanyi yang juga ahli politik Indonesia, Krisdayanti, mengumumkan namanya telah ditukar pada April lalu dan meminta semua pihak termasuk media menggunakan nama baharu itu semasa berurusan dengannya.
Krisdayanti berkata, nama baharu yang ditukarkan itu adalah Kris Dayanti.
“Ya, masih nama yang sama. Namun berbeza suku kata,” katanya.
Menurut Kris Dayanti, dia mahu kembali menggunakan nama tersebut kerana adalah nama asalnya seperti yang tertera pada kad pengenalan, selain mengenang Allahyarham bapanya.
“Dalam kad pengenalan, nama saya dieja Kris Dayanti. Tapi bila saya bekerja dalam bidang hiburan dan banyak menjalinkan kerjasama dengan jenama besar, nama pentas digunakan sebagai Krisdayanti agar kedengaran lebih catchy,” katanya memetik laporan daripada portal Detik.com.
Tambahnya lagi, semenjak bapanya meninggal dunia, dia kini menjadi lebih menghargai yang mendorongnya untuk mengambil keputusan menggunakan nama asalnya.
“Ini juga sebagai bentuk cinta dan kasih sayang buat ayah,” katanya.
Sumber: Detik, Sinar Harian








