Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memulakan siasatan dalaman bagi meneliti tahap pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) susulan kejadian kemalangan yang mengorbankan seorang pelajar Tingkatan Satu, semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kejadian tersebut kini turut berada dalam siasatan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.
Beliau pada masa sama menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin dan berharap mereka diberi kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian tersebut.
Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan sedang menguruskan bantuan terbaik kepada keluarga mangsa dengan memberi penekanan terhadap aspek kebajikan dan kesejahteraan mereka.
Baca juga:
- LRT3 Shah Alam: Sultan Selangor zahir penghargaan kepada Najib dan Anwar
- Hilang sebelah kaki bukan penghalang, dua beradik gigih usahakan Cendol Meleleh
- ‘Dulu BN buat, dilabel macam-macam, sekarang tukar nama je’ – Wee Ka Siong
Terdahulu, seorang pelajar Tingkatan Satu maut manakala seorang lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang wanita dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas, Kota Bharu, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 1.50 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi pelajar kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu kereta dipercayai tertekan pedal minyak ketika berada dalam kawasan sekolah sebelum hilang kawalan dan terbabas.








