Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Pertarungan DMA Islam vs Abang Koroy dibatalkan oleh pihak HBN atas alasan tidak selari dengan objektif sambutan
• DMA Islam tampil kritik keras KBS dan Hannah Yeoh, dakwa hak belia bersukan disekat
• DMA mohon maaf kepada penyokong dan seru kerajaan lebih fahami suara anak muda
Perlawanan tinju antara pempengaruh DMA Islam dan Abang Koroy yang dijadualkan berlangsung pada 15 Jun di Dataran Merdeka dibatalkan pada saat akhir atas arahan pengurusan Hari Belia Negara (HBN).
Menurut kenyataan media, acara tersebut tidak dimaklumkan secara rasmi kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan dianggap tidak selari dengan objektif sambutan HBN 2025. Justeru, perlawanan itu dihentikan serta-merta walaupun sesi timbang badan dan promosi telah diadakan beberapa hari sebelum.
Keputusan pembatalan itu mengundang pelbagai reaksi, termasuk daripada orang ramai yang telah membeli tiket dan datang dari jauh untuk menyaksikan acara tersebut. Namun, reaksi paling lantang datang daripada DMA Islam sendiri.
DMA Islam kecewa, persoal tindakan KBS dan Hannah Yeoh
Dalam satu video di Instagram yang dimuat naik 11 jam lalu, DMA meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap pembatalan tersebut. Menurutnya, dia telah berlatih selama tiga bulan dan datang dari Kelantan ke Kuala Lumpur semata-mata untuk bertanding.
“Aku datang training penat-penat daripada Kelantan ke Kuala Lumpur. Aku komit tiga bulan aku training, tiba-tiba korang nak batalkan macam tu je?
“Ada supporters aku daripada Sabah nak datang ke sini, dia dah beli tiket RM3,000. Lapan orang daripada Sabah, satu tiket RM500, RM4,000 burn macam tu je. Ada yang daripada Singapura, ada yang dah naik bas, ada yang dalam hotel, ada yang minta cuti kerja!” katanya.
“Kenapa korang goyang dengan DMA?”
Beliau turut mempertikaikan alasan kononnya dirinya terlalu kontroversi dan menyindir pemimpin serta individu lain yang lebih bermasalah masih boleh menganjurkan acara tanpa halangan.
“Choii yang empat kali masuk balai tu, masih boleh buat event di Dataran Merdeka, boleh je? Kenapa aku tak boleh?
“Aku ni rakyat Malaysia, aku belia, orang muda, aku berhak untuk bersukan. Tetapi kenapa korang nak ban? Kenapa korang goyang dengan DMA guys?” tambahnya lagi.
Hannah Yeoh turut jadi sasaran
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, turut menjadi sasaran kritikannya. DMA menyentuh sejarah aktivisme zaman reformasi dan mempertikaikan tindakan kerajaan hari ini yang menurutnya menyekat kebebasan bersuara.
“Yang berhormat Hannah Yeoh, dulu aku support korang masa zaman Bersih dulu. Korang ingat lagi tak masa bergolek-golek atas jalan raya, melawan polis demi kebebasan untuk bersuara. Tetapi hari ini korang pula koyak sebab aku ada voice.”
DMA turut mencadangkan supaya portfolio belia dan sukan dikendalikan oleh individu lain yang lebih memahami aspirasi belia Melayu.
“Kepada PMX, maybe kena tukar Hannah Yeoh dan jangan bagi dia handle bahagian belia sukan ini. Mungkin boleh bagi dia handle bahagian logistik ke, najis ke,” ujarnya.
Sumber: Instagram DMA Islam








