Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bencana banjir besar yang melanda beberapa wilayah di Indonesia baru-baru ini sehingga menjejaskan kehidupan ribuan penduduk kembali menghidupkan perbahasan mengenai punca sebenar krisis alam sekitar, khususnya isu penggondolan hutan dan pengurusan guna tanah.
Dalam suasana rakyat masih bergelut dengan kesan bencana, kenyataan bekas Ketua Pejabat Komunikasi Presiden Indonesia, Hasan Nasbi, yang mengaitkan tabiat minum kopi dan pengambilan makanan bergoreng dengan penggondolan hutan mencetuskan perhatian serta perdebatan meluas dalam kalangan masyarakat.
Hasan menyuarakan pandangan itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di saluran YouTube peribadinya pada Sabtu lalu. Dalam rakaman berkenaan, beliau mengulas naratif yang sering meletakkan penebangan hutan sebagai punca utama kepada pelbagai krisis alam sekitar.
Baca juga:
- Arab Saudi umum penemuan emas 8 juta auns pada 2025
- Garuda Indonesia nafi rekrut wanita menyamar pramugari Batik Air
- Trump pertahankan ejen imigresen, selepas wanita ditembak mati dalam operasi
Kopi, makanan bergoreng dan pembukaan ladang di kawasan hutan
Menurut Hasan, isu penggondolan hutan tidak boleh dilihat secara hitam putih. Beliau berpendapat sebahagian kawasan hutan berubah fungsi menjadi ladang kopi atau ladang kelapa sawit sejajar dengan permintaan tinggi masyarakat terhadap kopi dan makanan bergoreng.
“Selagi kita masih suka minum kopi, ada hutan yang berubah jadi ladang kopi. Kita makan makanan bergoreng, ada hutan yang berubah menjadi ladang sawit,” katanya dalam video tersebut.
Hasan turut menyentuh penggunaan cawan kopi berasaskan logam, dengan menyatakan bahan mentah logam diperoleh daripada aktiviti perlombongan yang juga memberi kesan kepada alam sekitar.
Hasan dikecam netizen
Petikan kenyataan Hasan itu kemudiannya tular di media sosial dan mengundang kecaman. Ramai netizen berpandangan beliau seolah-olah mengalihkan isu penggondolan hutan kepada tingkah laku individu, sekali gus meletakkan beban kerosakan alam sekitar di bahu pengguna.
Sebahagian pihak menegaskan penggondolan hutan lebih berkait rapat dengan dasar guna tanah, peluasan industri berskala besar serta kelemahan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar, bukannya semata-mata pola penggunaan harian masyarakat.
Namun begitu, terdapat juga pandangan yang melihat kenyataan Hasan sebagai satu seruan refleksi terhadap hubungan antara gaya hidup moden, permintaan pengguna dan tekanan berterusan terhadap alam sekitar.
Sumber: Serambi News








