Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa keputusan menyambung kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dibuat kerana tiada individu lain yang setanding dari segi kelayakan dan keberanian untuk memikul tanggungjawab tersebut ketika ini.
Anwar berkata, Azam telah membuktikan keberaniannya dalam melaksanakan tugas, termasuk mengambil tindakan terhadap tokoh berpengaruh dan ahli perniagaan besar yang terlibat dalam salah guna kuasa.
“Melihat perkembangan SPRM sejak puluhan tahun lalu, inilah kali pertama suruhanjaya itu berani menggeledah tauke besar.
“Inilah kenyataannya, kalau nak suruh ganti, saya boleh bincang (dengan kepimpinan) dan esok juga kita akan ganti.
“Tapi saya tak yakin yang baharu itu berani menggeledah tauke, orang kaya, keluarga kenamaan termasuk Tan Sri, Tun dan sebagainya.
“Bagi saya, berilah ruang sekejap kepada orang yang diamanahkan itu ambil pendekatan yang berani. Tak ada sebab untuk kita curigainya (Azam), sebab saya tidak pernah melihat (keberanian) itu sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024/2025, minggu lalu.
Azam mula dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 bagi menggantikan Latheefa Koya yang melepaskan jawatannya lebih awal. Sejak itu, beliau telah dilantik semula dua kali untuk tempoh setahun dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan seterusnya dari 12 Mei hingga 12 Mei 2026, selepas lanjutan terbaharu berkuat kuasa pada 13 Mei lalu.
Dengan lanjutan ini, Azam Baki kekal mengetuai SPRM hingga Mei 2026, di tengah-tengah harapan kerajaan agar pendekatan tegas terhadap rasuah diteruskan tanpa pilih kasih.
Bagaimanapun, lanjutan kontrak itu mencetuskan reaksi pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik termasuk Nurul Izzah Anwar.
Sumber: Harian Metro








