KKM gesa henti sebar dakwaan tidak sahih | The Reporter

KKM gesa henti sebar dakwaan tidak sahih

Ilustrasi tangan mencapai katil bayi di hospital susulan isu dakwaan bayi ditukar yang tular di media sosial.
Gambar janaan AI

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai menghentikan penyebaran dakwaan yang belum disahkan susulan tular satu hantaran di media sosial mendakwa berlaku cubaan menukar bayi di sebuah hospital kerajaan.

Menurut KKM, penyebaran dakwaan sensitif tanpa pengesahan, lebih-lebih lagi yang melibatkan aspek keselamatan bayi, merupakan tindakan tidak bertanggungjawab kerana boleh mencetuskan kegusaran dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“Maklumat yang dikongsi tanpa pengesahan boleh menimbulkan kegusaran dan ketegangan dalam masyarakat. Sebarang isu yang dibangkitkan perlu berdasarkan fakta yang sahih, bukan spekulasi semata-mata,” menurut kenyataan itu.

KKM turut menegaskan bahawa sekiranya benar berlaku kejadian seumpama itu, orang ramai perlu membuat laporan terus kepada pihak berkuasa supaya siasatan dapat dijalankan mengikut saluran yang betul.

Malah, kementerian itu mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan prinsip “Tak pasti, jangan kongsi” bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya.

Baca juga:

Terdahulu, media sosial kecoh dengan dakwaan kononnya seorang wanita Rohingya cuba menukar bayinya dengan bayi milik ibu lain di wad sebuah hospital kerajaan kerana bayinya dikatakan menangis tanpa henti.

Bagaimanapun, hantaran yang mencetuskan dakwaan tersebut telah dipadam. Individu yang memuat naik komen berkenaan turut memohon maaf dan menjelaskan bahawa kenyataan itu hanya berdasarkan cerita yang pernah dibaca, bukan disaksikan sendiri atau dapat disahkan kesahihannya.

Related Posts