Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketika ini lagu nyanyian ahli kumpulan pop Korea Blackpink ROSÉ bersama penampilan khas Bruno Mars menjadi trending di media social.
Lirik dan lagu yang berjudul APT yang berentak rancak dan catchy itu dilihat menjadi ikutan ramai tanpa mengetahui maksud sebenar lagu berkenaan.
Baru-baru ini juga portal Public Health Malaysia (PHM) yang merupakan laman advokasi kesihatan menyelar lagu berkenaan yang disifatkan normalisasi terhadap tingkah laku yang bertentangan dengan nilai-nilai budaya timur selain menyuarakan kebimbangan apabila ia menjadi ikutan pada generasi muda terutamanya anak-anak kecil.
Hantaran berkenaan bagaimanapun mendapat perhatian masyarakat Korea Selatan dan mendakwa hantaran yang dimuat naik oleh PHM merupakan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengecam lagu berkenaan.
Bagaimanapun, KKM dalam hantaran di jaringan X menafikan kenyataan tersebut dan memaklumkan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan hantaran mengenai lirik lagu berkenaan.
“Kementerian Kesihatan (MOH) Malaysia ingin menjelaskan bahawa sebarang kenyataan berkaitan artikel ini yang dikaitkan dengan MOH tidak dikeluarkan atau diluluskan oleh Kerajaan Malaysia.
“Dalam hal ini, kami ingin menekankan bahawa hantaran tersebut dibuat oleh entiti yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Kementerian.
“Kami menggesa orang ramai agar berhati-hati terhadap maklumat tidak disahkan yang beredar dalam talian, kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan dan maklumat salah dalam kalangan masyarakat.
“Oleh itu, kami menggalakkan orang ramai untuk bergantung pada saluran rasmi MOH bagi maklumat dan kemas kini yang disahkan mengenai perkara kesihatan awam,” katanya.








