KKM larang penjualan ASGG Gluta Genc Glow Gummies | The Reporter

KKM larang penjualan ASGG Gluta Genc Glow Gummies

Kementerian Kesihatan Malaysia melarang penjualan produk ASGG Gluta Genc Glow Gummies yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983.
Gambar: Code Blue, Media Sosial

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) mengumumkan larangan penjualan produk ASGG Gluta Genc Glow Gummies selepas ia didapati tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, KKM menjelaskan bahawa hasil pemantauan semasa mendapati produk berkenaan mengandungi bahan aktif Glutathione, iaitu bahan yang tidak disenaraikan di bawah Daftar 1, Jadual Kedua Belas, Peraturan 26, PPM 1985. Bahan tersebut tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam makanan.

Sehubungan itu, KKM menegaskan bahawa produk yang mengandungi Glutathione hanya boleh dipasarkan sekiranya ia berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) kerana ia dikategorikan sebagai produk bukan makanan. Oleh yang demikian, ASGG Gluta Genc Glow Gummies tidak boleh dijual dan tidak boleh diiklankan untuk tujuan pemasaran.

Masih dipasarkan secara atas talian

Hasil semakan lanjut KKM mendapati produk ini masih dipasarkan melalui platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok. Sehingga 10 November, sebanyak 121 permohonan sekatan pengiklanan telah dihantar kepada penyedia platform e-dagang bagi menghentikan promosi produk tersebut.

Baca juga:
Penjual diarah henti jualan serta-merta

KKM mengingatkan bahawa di bawah Seksyen 13B(2)(d) Akta Makanan 1983, mana-mana pihak adalah dilarang mencampurkan bahan yang tidak dibenarkan ke dalam produk makanan. Pelanggaran terhadap peraturan ini boleh menyebabkan pesalah dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, semua peniaga termasuk penjual dalam talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diarah menghentikan segera aktiviti penjualan dan diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat bagi tujuan penyitaan.

Dalam masa yang sama, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial perlu menghentikan penyiaran iklan produk berkenaan serta-merta.

Pengguna dinasihat hentikan pengambilan serta-merta

KKM turut mengeluarkan peringatan kepada pengguna supaya menghentikan penggunaan produk tersebut serta-merta dan mendapatkan rawatan daripada profesional kesihatan. Orang ramai juga diingatkan supaya lebih berhati-hati dan bijak dalam memilih produk makanan, terutama yang mungkin mengandungi bahan tidak dibenarkan.

Terdahulu, KKM menjalankan siasatan berhubung dakwaan wanita maut selepas ambil suplemen tular mengandungi Glutathione

Related Posts