Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyatakan rasa bimbang dengan keadaan tanah di negeri Pahang yang digambarkan bagaikan sudah ‘dijajah’ oleh pendatang asing.
Titah baginda keadaan ini disebabkan oleh kurang nilai integriti. Baginda memberikan contoh tanah-tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha kini telah disewakan kepada warga asing.
Titah baginda lagi, perbuatan itu dilakukan hanya demi mengikut nafsu dan mementingkan wang ringgit.
“Kita sanggup menggadai integriti dan membiarkan tanah di negeri ini diratah oleh bukan pemiliknya.
“Lebih mendukacitakan lagi, warga asing tersebut telah mengambil alih peranan sebagai ‘tauke’ yang mengawal bekalan dan harga dalam industri pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel-kartel yang merosakkan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Balai Mahkota Istana Abdulaziz pada Selasa.
Pemantauan aktiviti
Susulan itu, baginda menitahkan kerajaan negeri Pahang memantau aktiviti itu dan mengenakan tindakan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan kegiatan seperti ini tidak lagi berlaku.
“Jangan sesekali gelap mata dengan wang ringgit dan kesenangan dunia yang sementara. Laksanakan amanah yang diberi ini dengan penuh integriti.
“Ingatlah! setiap kerja buat dan tanggungjawab kita akan dipersoalkan kelak,” titah baginda lagi.
Dalam pada itu juga, bagida turut menyeru agar rakyat bekerjasama dalam memberi maklumat kepada pihak berkuasa mengenai segala bentuk jenayah dan salah laku yang berlaku.
“Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
“Beta juga ingin kerajaan negeri dan pihak berkuasa mengkaji dengan mendalam mengenai rancangan pembangunan di Cameron Highlands khususnya pembangunan- pembangunan pada masa akan datang.
“Hanya pendekatan yang holistik, tegas dan lestari sahaja dapat menyelamatkan tanah tinggi berkenaan daripada segala bentuk kerakusan dan tindakan yang tidak bertanggungjawab,” titah baginda lagi.
Sumber: Sinar Harian








