Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Memiliki majikan yang memahami dan menjaga kebajikan pekerja merupakan satu anugerah yang tidak ternilai. Apabila seorang majikan sudi mengeluarkan perbelanjaan untuk membawa pekerja bercuti, ia bukan sekadar ganjaran tetapi juga menunjukkan penghargaan terhadap dedikasi mereka sepanjang tahun. Majikan yang bertanggungjawab sedar betapa pentingnya masa rehat untuk memastikan pekerja kembali bekerja dengan lebih produktif dan bermotivasi.
Khairul Aming, seorang usahawan dan personaliti terkenal di Malaysia, tidak hanya berjaya dalam bidang perniagaan dan media sosial, tetapi juga dikenali kerana sikap prihatinnya terhadap kebajikan pekerjanya. Salah satu cara beliau menunjukkan penghargaan adalah dengan menyediakan percutian untuk stafnya sebagai ganjaran atas usaha mereka.
Dalam sesi siaran langsung di TikTok baru-baru ini, Khairul Aming berkongsi mengenai kos yang perlu ditanggung apabila beliau menutup operasi kilangnya selama beberapa hari untuk membawa pekerjanya bercuti.
Menurutnya, kos tersebut bukan hanya melibatkan perbelanjaan percutian tetapi juga kerugian akibat penutupan kilang.
“Kos pertama adalah untuk membawa staf bercuti, yang melibatkan perbelanjaan seperti makanan, hotel, perjalanan, aktiviti, dan duit poket.
Kos kedua pula adalah kerugian kerana penutupan kilang selama lima hari,” kata usahawan berusia 32 tahun itu.
Beliau menjelaskan, jumlah keseluruhan hampir mencecah sejuta ringgit, dengan kira-kira RM700,000 hingga RM750,000 merupakan kerugian dari segi produksi, manakala kos percutian staf dianggarkan sekitar RM200,000 hingga RM300,000.
Walaupun kosnya besar, Khairul Aming tidak menganggapnya sebagai beban.
“Saya sudah peruntukkan bajet ini setiap tahun untuk meraikan staf. Kami akan terus mengekalkan budaya ini dan memastikan ada waktu untuk bercuti bersama pekerja walaupun kilang perlu ditutup,” jelasnya.








