Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Tan Sri Razarudin akan tamatkan kontrak KPN pada 22 Jun selepas 2 tahun menjawat jawatan
• Majlis serah tugas dan Paluan Berundur dijadual 20 Jun di Pulapol
• Beliau berkhidmat dalam PDRM sejak 1984 dan pernah memegang pelbagai jawatan utama
Selepas empat dekad berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara, Tan Sri Razarudin Husain dijangka menamatkan kontrak sebagai Ketua Polis Negara (KPN) pada 22 Jun ini. Ia sekaligus menutup lembaran panjang perjalanannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Difahamkan, majlis serah tugas dan Paluan Berundur akan berlangsung lebih awal iaitu pada Jumaat, 20 Jun di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), bagi menandakan penamat rasmi era kepimpinan beliau.
Dari pegawai penyiasat ke jawatan tertinggi polis
Anak jati Dengkil, Selangor itu memulakan kerjaya pada tahun 1984 sebagai Pegawai Penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah. Berbekalkan Ijazah Sarjana Sains Sosial dari UKM dalam bidang Pengajian Kepolisan, Razarudin menaiki tangga perkhidmatan satu demi satu dengan penuh dedikasi.
Antara jawatan penting yang pernah dipegang termasuk:
• Penolong Pengarah D9, JSJ Bukit Aman
• Timbalan Komander Special Task Force On Organised Crime
• Ketua JSJ Pulau Pinang
• Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah
• Ketua Polis Perak
• Pengarah JSJN Bukit Aman
Pada 2021, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara sebelum mengisi jawatan KPN ke-14 mulai 23 Jun 2023 menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Siapa pengganti Razarudin?
Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi mengenai siapa yang bakal mengambil alih teraju utama PDRM selepas 22 Jun. Namun, pemilihan pengganti pastinya akan menarik perhatian umum, terutama dalam memastikan kesinambungan kepimpinan pasukan polis negara.
Sumber: Harian Metro








