• Murid Tahun 6, Maya, alami kecederaan dalaman selepas dibuli di sekolah pada 21 Mei lalu
• Keluarga kecewa kerana aduan mereka sejak 2024 tidak diendahkan dan siasatan SISPAA diklasifikasi “tidak berasas”
• Maya kini dipindahkan sekolah demi keselamatan, manakala pelaku didakwa kekal tanpa tindakan
Seorang murid perempuan Tahun 6 di sebuah sekolah di Kuala Terengganu mengalami kecederaan fizikal dan tekanan emosi yang serius selepas dipercayai dibuli secara fizikal oleh rakan sekelasnya dalam satu kejadian yang berlaku pada 21 Mei lalu.
Difahamkan Maya telah dibenarkan pulang daripada hospital dan masih memerlukan pemantauan lanjut selepas mengalami lebam di dahi, kesakitan di bahagian perut serta kehadiran darah dalam air kencing. Dia juga telah dirujuk kepada pakar psikiatri dan disahkan mengalami reaksi tekanan akut (acute stress reaction).
Apa berlaku pada hari kejadian?
Menurut ibu bapa Maya, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi ketika Maya berehat di dalam kelas. Dia didakwa telah ditendang di perut dan kepalanya dihentak ke meja sehingga mengalami kecederaan. Namun, tiada sebarang makluman segera dibuat oleh pihak sekolah kepada keluarga Maya.
Sebaliknya, murid lelaki yang didakwa terlibat dalam kejadian itu telah dibenarkan pulang seawal jam 11 pagi. Keluarga Maya hanya mengetahui tentang insiden berkenaan selepas anak mereka pulang ke rumah dalam keadaan trauma dan menangis tidak berhenti sekitar jam 4:45 petang.

Aduan sejak tahun lalu tetapi tidak diendahkan
Difahamkan, ini bukan kali pertama insiden melibatkan pelajar terbabit berlaku. Sejak 2024, ibu bapa Maya telah beberapa kali membuat aduan berhubung perlakuan kasar yang berulang terhadap anak mereka. Mereka juga pernah membuat laporan polis tetapi bersetuju menariknya semula atas permintaan pihak sekolah yang berjanji akan menukar Maya ke kelas lain. Malangnya, permintaan itu tidak pernah dilaksanakan.
Lebih mengecewakan, mesej-mesej susulan yang dihantar kepada guru kelas berhubung status pemindahan itu hanya dibaca tanpa sebarang maklum balas.
Laporan ke KPM pusat ditolak, diklasifikasi ‘tidak berasas’
Susulan insiden terbaru, ibu bapa Maya membuat aduan rasmi melalui SISPAA dengan permintaan agar siasatan dijalankan oleh pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari peringkat pusat. Mereka turut menyertakan bukti kecederaan, laporan perubatan dan salinan aduan polis.


Namun, mereka dimaklumkan siasatan telah dijalankan di peringkat negeri dan laporan itu dianggap tidak berasas. Keputusan ini menimbulkan rasa kecewa kerana mereka merasakan keadilan untuk anak mereka dinafikan walaupun bukti yang dikemukakan adalah jelas.

Maya dipindahkan sekolah demi keselamatan
Bimbang keselamatan dan kesihatan mental anak mereka terus terjejas, keluarga Maya akhirnya mengambil keputusan untuk memindahkannya ke sekolah lain. Mereka turut mempersoalkan layanan istimewa yang didakwa diberi kepada pelajar terbabit walaupun mempunyai rekod disiplin, termasuk dilantik menjadi pengawas.
Kes berpunca daripada salah faham, bukan buli
Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menjelaskan bahawa insiden melibatkan Maya bukanlah kes buli seperti yang tular di media sosial, sebaliknya berpunca daripada salah faham antara dua murid.
Menurut JPNT, siasatan awal bersama Pegawai Perhubungan Sekolah PDRM mendapati insiden berkenaan tidak melibatkan unsur buli dan sedang ditangani mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Buli dan Salah Laku.
Pihak sekolah turut memaklumkan sesi pemuafakatan antara ibu bapa kedua-dua murid sedang diatur dan lawatan telah dibuat ke hospital bagi melawat murid yang menerima rawatan.
JPNT dalam kenyataannya memberi jaminan bahawa isu ini akan diselesaikan secara harmoni demi kesejahteraan murid, ibu bapa dan pihak sekolah. Pada masa sama, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk buli atau salah laku lain dan akan mengambil tindakan tegas demi memastikan persekitaran sekolah yang selamat.








