Kerajaan tak kenakan tarif balas, tapi umum strategi besar hadapi tekanan AS | The Reporter

Kerajaan tak kenakan tarif balas, tapi umum strategi besar hadapi tekanan AS

Perdana Menteri dan Menteri MITI ketika umumkan langkah strategik tangani tarif AS
Kerajaan ambil pendekatan bijak tanpa kenakan balasan, tubuh NGCC untuk kawal impak terhadap ekonomi

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kerajaan memutuskan untuk tidak mengenakan tarif balas terhadap Amerika Syarikat (AS) walaupun negara itu bertindak mengenakan tarif sebanyak 24% terhadap barangan import dari Malaysia.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, tindakan AS itu dipandang serius dan Malaysia akan terus berbincang dengan pihak berkuasa AS bagi mencari jalan penyelesaian secara baik dan adil. Kerajaan juga yakin ekonomi negara masih kukuh kerana permintaan dalam negara kekal stabil dan menjadi penggerak utama pertumbuhan.

Sebagai langkah menangani kesan tarif ini, satu badan khas dikenali sebagai Pusat Perintah Geoekonomi Negara (NGCC) telah ditubuhkan dan akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. MITI akan bertindak sebagai urus setia bagi badan ini.

Menurut MITI, NGCC akan menilai kesan tarif tersebut dan merangka strategi menyeluruh untuk melindungi ekonomi serta membantu industri yang terjejas. Kerajaan juga sedang berbincang dengan pihak industri dan mempertimbang bantuan yang boleh diberikan untuk bantu mereka menyesuaikan diri.

Selain itu, Malaysia akan menggunakan hubungan dagang sedia ada dengan AS untuk menuntut keadilan dan pada masa sama meneroka perjanjian kerjasama teknologi yang boleh membuka ruang kerjasama dalam sektor seperti semikonduktor, aeroangkasa dan ekonomi digital.

MITI menjelaskan bahawa walaupun Malaysia mengalami defisit dalam perdagangan barangan dengan AS, negara itu sebenarnya memperoleh keuntungan besar dalam sektor perkhidmatan — menunjukkan hubungan dua hala yang saling memberi manfaat.

Untuk mengurangkan kebergantungan kepada pasaran AS, kerajaan akan meluaskan pasaran eksport ke negara-negara lain yang sedang pesat membangun. Malaysia juga akan mempercepatkan pelaksanaan dasar-dasar penting seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Pelan Peralihan Tenaga Negara bagi memastikan rantaian bekalan kekal kuat.

MITI menegaskan bahawa Malaysia berdepan cabaran ini dari posisi yang kukuh. Dengan kepelbagaian pasaran dan produk yang kita ada, serta permintaan berterusan terhadap barangan buatan Malaysia, ekonomi negara dijangka kekal stabil walaupun keadaan global tidak menentu.

Related Posts