Kerajaan akui M40 terhimpit, kaji semula pengkelasan isi rumah | The Reporter

Kerajaan akui M40 terhimpit, kaji semula pengkelasan isi rumah

Pasangan M40 kelihatan tertekan memikirkan bil kewangan, dengan inset gambar Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah.
Ramai M40 semakin terhimpit kos sara hidup, kerajaan kini kaji semula pengkelasan isi rumah untuk pastikan bantuan lebih adil.

Golongan M40 yang selama ini dianggap berkemampuan semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi. Dari bayaran rumah, pendidikan anak-anak hingga kos kesihatan, ramai yang merasakan diri mereka ‘terperangkap’. Tidak cukup miskin untuk menerima bantuan, tetapi juga tidak cukup senang untuk menanggung komitmen bulanan.

Kerajaan kini mengakui perkara tersebut dan sedang menilai semula pendekatan pengkelasan isi rumah M40. Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah, berkata penilaian baharu ini akan mengambil kira faktor kawasan tempat tinggal, jumlah tanggungan serta perbelanjaan tetap bulanan bagi memastikan pengelasan lebih adil.

Baca juga:

Kerajaan berjimat, bantuan rakyat tetap diperkukuh

Walaupun kerajaan sedang mengambil langkah berjimat dalam perbelanjaan negara, Amir menegaskan pelbagai jaringan sosial tetap dipertingkatkan. Pada 2025, jumlah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dinaikkan kepada RM15 bilion, berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya.

Selain itu, Belanjawan 2025 juga memperkenalkan beberapa langkah pelepasan cukai individu yang memberi manfaat langsung kepada golongan M40, antaranya:

  • Pelepasan perbelanjaan pendidikan anak-anak dan perubatan.
  • Potongan KWSP dan PERKESO.
  • Yuran taska serta perbelanjaan gaya hidup.
  • Pelepasan cukai baharu untuk ansuran pinjaman rumah pertama, sehingga RM7,000 bagi kediaman bernilai RM500,000 ke bawah dan RM5,000 bagi rumah sehingga RM750,000.
Subsidi bersasar untuk pembangunan asas

Menurut Amir, kerajaan masih belum bersedia melaksanakan kaedah baharu pengkelasan M40 kerana terlalu rumit untuk ditentukan secara terperinci bagi setiap isi rumah. Justeru, buat masa ini kerajaan meneruskan usaha melalui mekanisme subsidi bersasar.

Peralihan daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar, katanya, membolehkan penjimatan fiskal digunakan semula untuk pembangunan asas seperti sekolah dan klinik, kemudahan yang akan memberi manfaat secara menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat termasuk M40.

Sumber: Buletin TV3

Related Posts