Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ibu kepada model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit, memberikan tempoh 48 jam kepada kerajaan untuk melunaskan bayaran ganti rugi RM1.1 juta seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi.
Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen melalui peguamnya, Datuk S.N. Nair, menegaskan jumlah itu perlu dimasukkan serta-merta ke dalam akaun yang diuruskan firma guaman beliau.
Menurut Nair, pihaknya telah diarahkan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya sekiranya kerajaan gagal membuat bayaran dalam tempoh yang ditetapkan.
“Jika kerajaan gagal membuat pembayaran, kami akan mengambil tindakan undang-undang yang perlu dan sewajarnya,” katanya.
Surat tuntutan pembayaran itu diserahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar, hari ini.
Permohonan tangguh ditolak Mahkamah
Notis berkenaan merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang menolak permohonan kerajaan untuk menggantung pelaksanaan penghakiman bertarikh 29 Julai lalu. Hakim Roz Mawar Rozain mengarahkan bayaran RM1.1 juta dibuat serta-merta tanpa sebarang kompromi.
Nair berkata, sehingga surat tuntutan itu dikeluarkan, pihaknya masih belum menerima sebarang pengesahan atau bukti pembayaran daripada kerajaan.
“Kegagalan ini adalah satu bentuk ketidakpatuhan jelas dan boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap perintah mahkamah,” ujarnya.
Baca juga:
- Bekas wartawan FMT Rex Tan ditahan susulan soalan kontroversi
- Kerajaan tarik balik bantuan STR & SARA selepas lelaki ini kantoi miliki enam hartanah
- ‘Tolong beritahu Presiden kamu, kami hanya ada minyak masak’ – Komen lucu rakyat Malaysia
Unsur kecuaian
Pada 29 Julai lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan kerajaan perlu membayar ganti rugi selepas mendapati wujud kecuaian polis dalam siasatan kematian Ivana pada 2017. Kerajaan bagaimanapun memohon penangguhan sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Hakim Roz Mawar juga memutuskan berlaku pelanggaran tanggungjawab penjagaan oleh pihak berkuasa, merangkumi kegagalan mengurus tempat kejadian jenayah, pemeliharaan bukti serta prosedur forensik.
Kematian Ivana Smit
Christina memfailkan saman tersebut dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Dang Wangi Asisten Komisioner Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Ivana, ketika berusia 18 tahun, ditemukan maut di tingkat enam sebuah kondominium selepas dipercayai jatuh dari tingkat 20 unit milik pasangan warga Amerika, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Sumber: Malaysia Gazette








