Peguam yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina semalam mengumumkan bahawa semua bentuk perhimpunan solidariti Justice for Zara wajar ditangguhkan buat sementara waktu.
Keputusan itu diambil bagi memastikan prosiding inkues kematian remaja berusia 13 tahun itu dapat berlangsung tanpa gangguan.
Menurut kenyataan media bertarikh 13 September, langkah menangguhkan perhimpunan selaras dengan hasrat ibu Zara supaya tumpuan penuh diberikan kepada inkues yang sedang berjalan di Mahkamah Koroner. Sehingga kini, enam orang saksi telah dipanggil memberikan keterangan dan pihak keluarga menyatakan mereka berpuas hati dengan perjalanan prosiding setakat ini.
Baca juga:
- RXZ Members 8.0 tukar slogan, kini ‘Yang Santai, Pasti Sampai’
- ‘Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu’ – Sanusi
- ‘Laporan RCI Tabung Haji ditangguh demi elak rakyat hilang keyakinan’ – Anwar

Sokongan dihargai, tapi beri ruang inkues
Peguam turut mengucapkan penghargaan kepada orang ramai yang hadir memberi sokongan dalam perhimpunan aman sebelum ini, termasuk bantuan dana untuk menampung kos guaman. Namun, mereka menegaskan pentingnya solidariti ditunjukkan melalui doa dan sokongan moral, bukannya perhimpunan fizikal yang boleh menimbulkan risiko subjudice serta mengganggu kelancaran prosiding.
Kenyataan itu juga mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati mengulas isu inkues di media sosial. Komen dan kritikan yang tidak berlandaskan bukti berisiko menjejaskan proses mencari kebenaran.
Fokus utama kini, jelas mereka, adalah memastikan keadilan untuk Zara ditegakkan melalui saluran undang-undang.








