Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Khalid Yunus mohon maaf selepas kenyataannya mengaitkan kematian pelajar UPSI dengan hutang PTPTN tular dan dikritik ramai
• Netizen bongkar pengakuannya pernah didiagnosis skizofrenia dan memerlukan rawatan berterusan
• Fakta menunjukkan hutang PTPTN dilindungi takaful, sekali gus menolak dakwaan “mati berhutang”
Susulan tular hantaran berunsur penghinaan terhadap 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas bas persiaran, Khalid Yunus tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Menerusi kenyataan ringkas di Facebook, dia menulis, “Assalamualaikum. Di sini, saya ingin memohon maaf terhadap insiden yang berlaku kepada pelajar UPSI. Semoga mereka di tempat bersama orang-orang yang beriman dan mendapat Husnul Khotimah.”
Permohonan maaf itu hadir selepas hantaran terdahulunya mengaitkan kematian pelajar-pelajar berkenaan dengan hutang PTPTN, yang disifatkan ramai pihak sebagai tidak wajar dan menyentuh sensitiviti masyarakat.
Dalam hantaran sebelum ini, Khalid mendakwa mereka yang mati berhutang tidak layak digelar beriman, malah menyebut pelajar tersebut “tidak layak ke syurga” kerana hutang. Kenyataan itu mengundang teguran ramai kerana dianggap keterlaluan dan tidak berempati terhadap keluarga mangsa.

Netizen persoal kewarasan individu
Netizen turut menemui satu komen lama daripada Khalid yang mengaku pernah didiagnosis dengan skizofrenia dan perlu menerima suntikan bulanan. Menurutnya, kesan ubat tersebut menyebabkan beliau tidak mampu mengajar atau bersukan seperti biasa.

Kenyataan yang tular itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan netizen mengenai tahap kesihatan mental beliau dan keperluan pemantauan berterusan terutama jika individu tersebut terlibat dalam sektor yang berinteraksi dengan masyarakat awam.
Dakwaan tak berasas, bercanggah dengan fakta PTPTN
Beberapa pengguna media sosial turut tampil memberi penjelasan bahawa dakwaan Khalid adalah tidak tepat. Ini kerana PTPTN menyediakan perlindungan takaful berkelompok untuk semua peminjam. Sekiranya peminjam meninggal dunia, baki hutang akan dilangsaikan oleh pihak takaful.
Oleh itu, tidak timbul isu pelajar “mati berhutang” seperti yang didakwa, apatah lagi sehingga dikaitkan dengan status keimanan seseorang.




