Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan Op Mengejut Puspakom serentak di seluruh negara bermula 9.30 pagi tadi, melibatkan 350 pegawai dan anggota. Operasi ini bertujuan memastikan semua kenderaan yang diperiksa di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mematuhi standard yang ditetapkan.
Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, operasi ini dilakukan tanpa notis awal kepada Puspakom, selaras dengan arahan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, untuk melaksanakan penguatkuasaan secara berfasa.
Ujarnya, fasa pertama melibatkan sekatan jalan raya yang dilakuan JPJ di lebuh raya terpilih dan fasa kedua pula ialah pemeriksaan mengejut di Puspakom seperti yang dijalankan pada hari ini.
Operasi di Puspakom Wangsa Maju itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan, dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.
Menerusi operasi yang dijalankan selama dua jam itu, sebanyak 115 lori telah diperiksa dan 69 notis saman telah dikeluarkan, 29 kenderaan telah diambil tindakan, tujuh kenderaan iaitu lima kereta dan dua lori telah disita.
Beberapa kesalahan dikesan, termasuk penggunaan tayar celup yang tidak selamat dan berbahaya kerana berisiko meletup.
“Ketua Setiausaha MOT telah memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom untuk membuat penambahbaikan segera dalam hal ini kerana kebanyakan tayar ini mudah pecah dan jika tidak ditangani, ia boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya.
Selain itu, satu kes mengejutkan berlaku apabila sebuah kenderaan yang tidak selamat didapati lulus pemeriksaan di Puspakom Wangsa Maju. Susulan itu, JPJ akan memanggil penyelia dan kakitangan Puspakom yang terlibat untuk disoal siasat di Ibu Pejabat JPJ esok dan satu kertas siasatan akan dibuka.
Sumber: Harian Metro








