Kenali Menteri Besar setiap negeri, jom semak senarainya | The Reporter

Kenali Menteri Besar setiap negeri, jom semak senarainya

Peranan Menteri Besar dan Ketua Menteri sangat besar dan pemerintahan sesebuah negeri.
Gambar hiasan: Harian Metro

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri Besar dan Ketua Menteri memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri daripada kelulusan dasar, bajet, urus tadbir kerajaan tempatan sehinggalah kebajikan rakyat. Mengenali mereka bukan sekadar untuk berpolitik, tapi juga untuk memahami siapa yang bertanggungjawab terhadap isu dan keputusan berkaitan pembangunan, dasar ekonomi negeri, kebajikan rakyat serta pengurusan bencana dan krisis.

Tular baru-baru ini sebuah rakaman video membabitkan seorang lelaki yang menyertai himpunan politik, namun tersilap menyebut nama Menteri Besar Terengganu. Meskipun sekilas lalu kelihatan seperti kesilapan kecil, namun insiden itu mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen yang rata-rata menyifatkannya sebagai tanda kurangnya kesedaran politik dalam kalangan rakyat.

Sebagai panduan, berikut adalah senarai penuh nama Menteri Besar dan Ketua Menteri di semua negeri di Malaysia setakat tahun 2025, termasuk parti yang mereka wakili serta tahun mereka mula dilantik memegang jawatan.

Menteri Besar di Malaysia

Menteri Besar Perlis ialah Mohd Shukri Ramli daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang memegang jawatan sejak tahun 2022. Bagi negeri Kedah pula, jawatan tersebut disandang oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, juga daripada PAS, yang mula mentadbir sejak 2020.

Di Pulau Pinang, Ketua Menteri adalah Chow Kon Yeow daripada DAP yang sudah berkhidmat sejak 2018. Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, mewakili UMNO di bawah Barisan Nasional dan mula dilantik pada tahun 2020.

Negeri Selangor pula ditadbir oleh Datuk Seri Amirudin Shari daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga dari PKR, mengetuai pentadbiran Negeri Sembilan. Kedua-dua mereka mula berkhidmat selepas Pilihan Raya Umum 2018.

Bagi negeri Melaka, jawatan Ketua Menteri kini disandang oleh Datuk Seri Ab Rauf Yusoh daripada UMNO, yang mula dilantik pada tahun 2023. Di Johor, pentadbiran negeri diketuai oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga mewakili UMNO dan memegang jawatan sejak tahun 2022.

Baca juga:

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kekal sebagai Menteri Besar Pahang sejak 2018, juga dari UMNO. Manakala di Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar daripada PAS masih memegang jawatan yang dimenanginya sejak 2018.

Di negeri Kelantan, perubahan berlaku apabila Datuk Mohd Nassuruddin Daud menggantikan Datuk Ahmad Yakob pada tahun 2023, juga mewakili PAS. Bagi negeri-negeri di Borneo, Ketua Menteri Sabah ialah Datuk Seri Hajiji Noor daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang memegang jawatan sejak tahun 2020. Di Sarawak pula, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus menerajui negeri itu sejak 2017.

Tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tidak mempunyai Menteri Besar atau Ketua Menteri, sebaliknya ditadbir terus di bawah kerajaan Persekutuan.

Related Posts