Harga roti canai, nasi lemak & sate naik mendadak sejak 2011, kerang melonjak 400% | The Reporter

Harga roti canai, nasi lemak & sate naik mendadak sejak 2011, kerang melonjak 400%

Nasi lemak berbungkus daun pisang dengan sambal, telur rebus, kacang, ikan bilis dan timun dihidang di atas meja kayu.
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kenaikan harga makanan kegemaran rakyat Malaysia terus mencuri perhatian apabila data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan peningkatan mendadak dalam tempoh 13 tahun lalu.

Dalam laporan bertajuk Analisis Indeks Harga Pengguna (IHP) Tahunan 2024, harga roti canai kini mencecah RM1.54 sekeping, meningkat 71.1 peratus berbanding 90 sen pada tahun 2011. Nasi lemak pula naik 81.3 peratus daripada RM2.03 kepada RM3.68, manakala sate ayam menunjukkan lonjakan lebih dua kali ganda – daripada 51 sen kepada RM1.09 secucuk.

Bahan asas seperti bawang besar import dari India turut mencatat peningkatan mendadak sebanyak 139.4 peratus – daripada RM2.89 kepada RM6.92 sekilogram. Begitu juga santan segar yang naik daripada RM7.39 kepada RM11.54 sekilogram, dan kelapa parut meningkat daripada RM5.18 kepada RM8.33.

Tidak terkecuali, harga daging lembu tempatan melonjak hampir dua kali ganda daripada RM19.05 pada 2011 kepada RM37.84 sekilogram tahun lepas, sekali gus menekan kuasa beli isi rumah.

Namun, bahan mentah yang mencatat kenaikan paling luar biasa adalah kerang. Harganya melonjak 400.3 peratus dalam tempoh sama – daripada RM3.04 kepada RM15.21 sekilogram, menjadikannya antara barangan laut yang paling terkesan.

Sementara itu, DOSM turut melaporkan kadar inflasi Malaysia mencatat peningkatan perlahan sebanyak 1.8 peratus pada 2024 berbanding 2.5 peratus tahun sebelumnya, dengan mata indeks meningkat daripada 130.4 kepada 132.8.

Sumber: Bernama

Related Posts