Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengumuman mengenai kenaikan harga diesel di Semenanjung melebihi 50 peratus telah memberikan kesan kepada lebih 2,000 pengusaha bas persiaran.
Menurut Timbalan Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Malaysia, Mohd Rofik Mohd Yusoff, ini kerana kebanyakan pengusaha telah pun menerima tempahan sehingga hujung tahun ini sedangkan kadar tambang ditetapkan mengikut harga diesel RM2.15 seliter.
Katanya lagi, keadaan ini sangat membebankan apatah lagi bas tidak termasuk dalam kategori layak menerima subsidi.
Ekoran itu juga katanya kebanyakan pengusaha dalam dilema samada mahu menyemak semula kadar tambang yang ditetapkan atau mengenakan caj tambahan.
“Sudahlah kategori bas ini tidak termasuk dalam kategori layak menerima subsidi, kini berdepan pula kenaikan harga diesel dan ini sangat membebankan.
“Sekarang ramai pengusaha dalam dilema sama ada perlu menyemak semula kadar tambang ditetapkan atau mengenakan caj tambahan,” katanya.
Pengusaha tersepit
Kebanyakan pengusaha pula katanya telah pun mengambil wang deposit dan mereka bimbang sekiranya menaikkan harga tambang akan berdepan kehilangan pelanggan.
Bagi isian penuh diesel sebuah bas pada kadar baharu, pengusaha perlu menanggung dalam anggaran RM600 berbanding kadar lama antara RM350 hingga RM400 sahaja.
Justeru itu, beliau memohon supaya kerajaan pertimbangkan perluaskan program Subsidi Diesel Budi Madani kepada semua kategori bas.
“Jadi saya mohon sangat kerajaan supaya pertimbang perluaskan Program Subsidi Diesel Budi Madani kepada semua kategori bas kerana mereka juga pengangkutan awam,” ujar beliau.
Sumber: Sinar Harian