Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Semangat juang atlet muda seringkali menjadi mangsa kepada sistem yang pincang. Dalam dunia sukan peringkat sekolah, kejujuran dan ketelusan seharusnya menjadi tunjang utama, namun lain pula yang berlaku dalam satu kejohanan merentas desa di Semporna baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Facebook, seorang jurulatih sukan, Mukmin Nantang, mendakwa berlaku salah guna kuasa dalam Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Semporna yang berlangsung Sabtu lalu, selepas atlet bimbingannya digugurkan dari tempat kedua tanpa bukti kukuh.
Tiada ruang pembelaan
Menurut Mukmin, kemenangan anak didiknya dirampas secara mengejut selepas tamat majlis penyampaian hadiah, apabila pingat perak yang diterima ditarik balik dan diserahkan kepada peserta di tempat ketiga atas tuduhan menaiki kenderaan ketika perlumbaan.
- Muslimat PAS puji langkah Tamil Nadu tutup 717 premis arak
- Disangka cucu, nenek tampar lelaki di kafe siber sebelum sedar tersilap orang
- Tular video remaja Thailand bergelut dengan lelaki Australia di Stesen Epping, Sydney
- Bisnes merosot, Zul Yahya dedah anak isteri terpaksa bermalam di kedai
- PASTI Melaka nafi dakwaan pecat jurulatih bola jaring
“Tiada bukti gambar atau video ditunjukkan, hanya berdasarkan dakwaan tiga orang peserta. Malangnya atlet kami tidak diberi peluang membela diri. Ini tindakan yang sangat tidak adil,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mukmin menegaskan bahawa proses pembelaan langsung tidak berlaku mengikut prosedur. Beliau sendiri telah berjumpa dengan pihak pengadil dan mempertikaikan keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa siasatan rapi.
“Saya tanya mana bukti? Kalau boleh guna testimoni tiga orang, kami pun boleh bawakan lebih ramai saksi untuk buktikan atlet kami tidak menipu,” katanya lagi.
Bukti larian direkod jam Garmin
Mukmin turut menampilkan bukti kukuh bahawa atletnya tidak melakukan sebarang penipuan. Sepanjang perlumbaan, atlet terbabit memakai jam tangan Garmin yang secara automatik merekod setiap pergerakan termasuk jarak larian, kelajuan, masa, degupan jantung, ketinggian, dan rentak larian (stride).
“Semua data dalam jam tu lengkap. Kalau dia naik kenderaan, bacaan dalam Garmin tu akan kelihatan pelik dan tak konsisten. Tapi dalam kes ni, semua data menunjukkan dia berlari secara sah,” jelas Mukmin.
Selain itu, atlet berkenaan turut menunjukkan getah penanda dari setiap stesen pemeriksaan sepanjang laluan, membuktikan dia melalui semua checkpoint seperti yang ditetapkan.
Keputusan berubah-ubah
Setelah tekanan diberikan, pihak penganjur akhirnya bersetuju memulangkan semula kemenangan kepada atlet tersebut, namun dengan syarat tempat kedua dikongsi bersama atlet lain. Tidak lama kemudian, satu keputusan baharu pula diumumkan iaitu atlet tersebut perlu melakukan larian semula secara solo untuk membuktikan kelayakannya.
“Kami hairan, kenapa perlu lari seorang diri? Kenapa bukan kesemua peserta tempat kedua hingga keenam diuji bersama? Apa sebenarnya agenda mereka?” soalnya.
Suara untuk atlet-atlet Semporna
Mukmin turut menyentuh isu lain yang pernah berlaku sebelum ini, termasuk kes kehilangan pingat dan bayaran yang belum diterima oleh atlet yang mewakili daerah. Beliau menyifatkan sistem yang ada sekarang merugikan bakat anak-anak muda di Semporna.
“Ada pelajar yang pecah rekod, menang emas, tapi sehingga sekarang tidak dapat apa-apa. Apa akan jadi dengan semangat mereka bila usaha tidak dihargai?” katanya.
Desak siasatan telus
Mukmin Nantang mendesak agar satu siasatan telus dijalankan terhadap kejadian yang menimpa atlet bimbingannya, selain pelbagai isu lain yang dikatakan sudah lama berlaku dalam pengurusan sukan di peringkat daerah Semporna. Beliau menegaskan bahawa ketelusan dan integriti dalam pengadilan kejohanan perlu diutamakan bagi memastikan tiada bakat pelajar yang terpinggir atau dihukum secara tidak adil.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk tampil memberi keterangan serta bukti terhadap segala dakwaan yang dibuat. Tegasnya, perkara ini bukan soal peribadi tetapi menyentuh masa depan atlet-atlet muda yang bertungkus-lumus berlatih demi mewakili daerah dan negeri dengan penuh semangat.
“Saya tak takut untuk bersuara. Kita perlu rombak budaya sukan yang kotor dan tidak adil ini. Kalau bakat anak Semporna terus dimatikan begini, siapa yang akan bela mereka nanti? Siasatan harus dibuat, dan keadilan mesti ditegakkan”.
“Saya bersedia tampil memberikan kerjasama dan bertanggungjawab dengan segala kenyataan. Cukup-cukuplah sistem bobrok yang membunuh bakat,” tegasnya.








