Keluarga Paijang takkan tarik balik laporan polis, akan tetap saman pelaku | The Reporter

Keluarga Paijang takkan tarik balik laporan polis, akan tetap saman pelaku

Keluarga Paijang takkan tarik balik laporan polis
Foto: Facebook Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Keluarga kepada lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) kategori mental yang dipukul di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Kemaman, menegaskan tidak akan menarik balik laporan polis berhubung insiden tersebut, selain akan mengambil tindakan saman terhadap individu terlibat.

Isteri mangsa, Faridah Abdul Karim, 44, berkata sehingga kini tiada pihak yang tampil memohon maaf secara bersemuka, walaupun salah seorang pelaku ada menghubunginya menerusi panggilan telefon.

“Saya sebagai isteri tidak sanggup berjumpa mereka. Sukar untuk saya maafkan dan tidak sesekali akan memaafkan kerana tindakan mereka melampaui batas kemanusiaan, sedangkan suami saya telah berkali-kali meminta maaf,” katanya memetik laporan dari Sinar Harian, Isnin, 20 Januari 2025.

Keluarga Paijang berbual dengan TPM Ahmad Zahid Hamidi melalui panggilan video | Foto: FB Ahmad Zahid Hamidi

Faridah semalam menerima kunjungan daripada Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, iaitu Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin di kediamannya di Kampung Tok Adis, Kuala Ibai. Ahmad Zahid turut berhubung melalui panggilan video untuk menyampaikan nasihat kepada keluarga mangsa.

“Saya telah melihat video tular tersebut dan sangat bersimpati dengan apa yang berlaku. Saya harap mangsa cepat sembuh, dan keluarga akan terus menjaganya dengan baik terutama ketika situasinya tidak stabil,” kata Ahmad Zahid, lapor Harian Metro, Isnin, 20 Januari 2025.

Dalam perbualan bersama anak mangsa, Ahmad Fakhrie, 19, Ahmad Zahid menasihatkan agar keluarga tidak bertindak balas terhadap kejadian itu.

“Jangan ikut emosi untuk mempertahankan maruah keluarga. Serah kepada undang-undang untuk menentukan keadilan,” katanya.

Related Posts