Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kegagalan sebahagian lelaki memainkan peranan sebagai suami dan bapa mendorong wanita mencari ketenangan di luar rumah, termasuk menyertai kumpulan tertentu yang membawa ajaran bertentangan dengan syariat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, isu seperti program e-Hati yang tular baru-baru ini membuktikan bagaimana kurangnya kasih sayang daripada suami dan bapa boleh menyebabkan wanita mencari ‘penawar’ menerusi cara yang salah.
“Bila tidak dapat kasih sayang daripada suami, tidak dapat daripada bapa, mereka mencari-cari ketenangan. Kalau mereka jumpa kumpulan yang betul, yang bawa ke jalan syariat, alhamdulillah.
“Tetapi ada juga yang bertemu dengan kumpulan-kumpulan yang membawa fahaman yang bertentangan dengan prinsip syariat. Sebab itulah kita tekankan peranan lelaki sebagai pemimpin dan pelindung keluarga,” katanya.
Pemimpin perlu bermula sejak muda
Memetik laporan Kosmo, Dr. Na’im berkata, pembentukan lelaki sebagai pemimpin keluarga perlu bermula sejak mereka masih muda, justeru pelbagai program dilaksanakan dengan kerjasama agensi seperti Jakim dan Ikram.
“Kita tak nak nanti bila mereka dah kahwin baru nak belajar tentang tanggungjawab sebagai suami dan bapa. Kita siapkan mereka daripada awal. Kita bagi mereka ilmu, kita bagi mereka alat bagaimana nak urus keluarga,” katanya.
Baca juga:
- KKM semak video tular kad pemantauan pesakit denggi di KK Sri Rampai
- Sultan Selangor seru wakil rakyat hayati makna Rukun Negara di Dataran Selangor
- Kisah Atok Grab tular raih perhatian, terima bantuan kerajaan
Nilai kepimpinan
Beliau turut menegaskan, anak muda perlu didedahkan dengan nilai kepimpinan keluarga sejak awal supaya tidak mengulangi kesilapan generasi terdahulu.
“Kalau mereka nampak contoh bapa yang tak jalankan tanggungjawab, contohnya mendera isteri, mereka tahu itu salah. Mereka perlu jadi lebih baik kerana kepimpinan itu bermula dari keluarga sebelum ke masyarakat dan negara,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha melahirkan generasi lelaki yang bertanggungjawab adalah penting dalam membina masyarakat madani berasaskan nilai, akhlak dan kefahaman agama.








