Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menasihati warganegara Malaysia yang bermastautin di ibu kota Indonesia itu serta mereka yang berkunjung atas urusan pelancongan, perniagaan dan sebagainya agar berhati-hati susulan beberapa siri demonstrasi di Senayan sejak 25 Ogos lalu.
Menurut kenyataan rasmi, demonstrasi berkenaan memberi kesan terhadap aliran pergerakan trafik dengan penutupan beberapa lokasi, khususnya di Jakarta Selatan dan Jakarta Pusat.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia disarankan supaya sentiasa memantau perkembangan terkini lokasi aktiviti demonstrasi melalui pengumuman pihak berkuasa dan media tempatan.
“Warganegara Malaysia juga dinasihatkan untuk menghindari lokasi demonstrasi dan tidak melibatkan diri dalam apa jua tindakan yang menyalahi undang-undang tempatan,” jelas kenyataan tersebut.
Bagi sebarang bantuan konsular, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta boleh dihubungi di talian +6281380813036.
Baca juga:
- Muslimat PAS puji langkah Tamil Nadu tutup 717 premis arak
- Disangka cucu, nenek tampar lelaki di kafe siber sebelum sedar tersilap orang
- Tular video remaja Thailand bergelut dengan lelaki Australia di Stesen Epping, Sydney
Terdahulu, protes yang berlaku di Jakarta berpunca daripada pendedahan elaun perumahan ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) sebanyak Rp50 juta sebulan yang dianggap keterlaluan berbanding gaji minimum rakyat.
Ketegangan semakin memuncak apabila seorang pemandu p-hailing (pemandu ojek online), Affan Kurniawan, maut dirempuh kenderaan polis ketika rusuhan berhampiran kompleks parlimen, sekali gus mencetuskan simpati dan kemarahan orang ramai.
Gerakan mahasiswa “Indonesia Gelap” yang sejak awal menentang pemotongan bajet pendidikan dan kebimbangan terhadap pengaruh tentera, kini semakin lantang selepas tragedi tersebut. Situasi bertambah parah dengan tindakan keras pihak berkuasa yang dilihat menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.









