Kerajaan Kedah sedang mempertimbangkan langkah seterusnya berhubung tuntutan semakan bayaran pajakan Pulau Pinang, termasuk kemungkinan mengemukakannya selepas mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan sekiranya tuntutan itu terus tidak mendapat pertimbangan.
Memetik laporan Urus Setia Penerangan Darul Aman, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri kini menilai sama ada dokumen berkaitan tuntutan itu perlu diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk dibincangkan sekarang atau selepas mengambil alih pentadbiran Persekutuan.
Menurut beliau, isu semakan bayaran pajakan Pulau Pinang bukan perkara baharu kerana telah dibangkitkan oleh Kerajaan Kedah sejak enam tahun lalu. Namun, sepanjang tempoh berkenaan, tuntutan itu masih belum menerima maklum balas positif daripada Kerajaan Persekutuan.
Sanusi berkata, tuntutan tersebut wajar diputuskan berdasarkan undang-undang dan prinsip kedaulatan undang-undang bukannya mengambil kira kedudukan atau pihak yang terlibat.
Baca juga:
- Bajet 2027: Puad gesa tubuh badan khas pantau perbelanjaan kementerian
- Nahas Jalan Kuching: Keluarga adik Asiah tuntut keadilan
- JPJ gantung sementara kelulusan Chery Omoda 5 susulan insiden tular
Beliau turut memaklumkan perkara itu pernah dibangkitkan kepada Perdana Menteri ketika Perikatan Nasional (PN) mentadbir Kerajaan Persekutuan selama 33 bulan. Bagaimanapun, tuntutan berkenaan belum dikemukakan secara rasmi ketika itu kerana dokumen berkaitan masih belum lengkap.
Dalam pada itu, Kerajaan Kedah telah melengkapkan kajian komprehensif bagi mengukuhkan tuntutan semakan bayaran pajakan berkenaan. Pasukan penyelidik yang terdiri daripada pakar sejarah dan perundangan ditugaskan meneliti dokumen sejarah, perjanjian, rekod pembayaran serta kedudukan dari sudut undang-undang dan Perlembagaan.
“Kajian tersebut telah disiapkan dan laporan akhirnya dibentangkan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ADUN serta Ahli Parlimen pada 15 April 2025,” katanya.








