Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan negeri Kedah sedang merancang untuk mewajibkan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda di negeri itu.
Memetik Malaysia Kini, tulisan Jawi akan digunakan sebagai tulisan kedua, manakala tulisan Rumi akan menjadi tulisan utama pada papan tanda.
“Pada masa ini, sudah banyak papan tanda yang mula menggunakan tulisan Jawi sebagai tulisan kedua. Lagipun, sudah terdapat undang-undang kecil yang menggalakkan penggunaan tulisan Jawi di papan tanda,” kata Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mansor Zakaria.
Selain itu, tulisan ketiga juga dibenarkan untuk digunakan sebagai tambahan.
“Sebelum ini, terdapat papan tanda yang hanya ditulis sepenuhnya dalam bahasa Cina. Dengan peraturan baharu yang akan dilaksanakan nanti, perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi,” tambahnya.
Mansor juga memaklumkan bahawa perkara ini telah dibincangkan bersama Darul Aman Media dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada bulan lepas.
Darul Aman Media merupakan anak syarikat Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah yang diberi tanggungjawab untuk menguatkuasakan urusan berkaitan hal ini.
Dalam pada itu, cadangan penguatkuasaan ini juga akan meliputi larangan memaparkan gambar wanita berpakaian seksi, bahan terlarang, mesej berbaur hasutan atau perkauman, serta gambar senjata berbahaya.








