Kebaya diiktiraf elemen warisan kebudayaan tidak ketara | The Reporter

Kebaya diiktiraf elemen warisan kebudayaan tidak ketara

Sumber Gambar: Berita RTM

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan memaklumkan, Malaysia telah berjaya mendapat pengiktirafan satu lagi elemen warisan Kebudayaan Tidak Ketara iaitu Kebaya yang diumumkan semalam sempena Sesi Ke-19 “Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage (IGC ICH)” yang diadakan pada 2 – 7 Disember 2024 di Asuncion, Paraguay.

Pengiktirafan berkenaan bersama-sama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand di bawah ‘Representative List Of The Intangible Cultural Heritage Of Humanity UNESCO tahun 2024.

Kejayaan penyenaraian jelasnya menjadikan tiga pencalonan secara bersama telah berjaya diperoleh Malaysia selepas pantun bersama Indonesia (2020) dan Upacara Wangkang bersama China (2020).

“Penyenaraian yang cukup berprestij itu telah diputuskan oleh IGC ICH yang dianggotai oleh 24 negara di bawah Konvensyen untuk Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003.

“Pengiktirafan ini lebih bermakna apabila badan penilaian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengiktiraf dosir pencalonan kebaya sebagai contoh dosir pencalonan yang jitu dan berprestij bagi fail pencalonan bersama,”katanya.

Dalam pada itu, MOTAC turut menyifatkan pengiktirafan berkenaan dapat meningkatkan visibiliti Malaysia di peringkat dunia sebagai negara dengan khazanah warisan kebudayaan tidak ketara yang berpotensi menjadi produk pelancongan dan menyumbang kepada ekonomi.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif termasuk kerjasama erat dengan anggota negara ASEAN seperti Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand yang bersama-sama mempromosi kebaya sebagai simbol warisan serantau.

“la juga merupakan tanggungjawab bersama untuk memastikan warisan seni budaya itu terus dilestarikan bagi generasi akan datang,” tulis kenyataan itu.

Related Posts