'Saya mahu keadilan untuk Zara' – Ibu arah kubur anak digali semula | The Reporter

‘Saya mahu keadilan untuk Zara’ – Ibu arah kubur anak digali semula

Ibu Zara Qairina memakai tudung dan pelitup muka memegang gambar kenangan bersama anaknya yang telah meninggal dunia.
Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina, menuntut siasatan telus terhadap kematian anak tunggalnya di asrama SMKA.
Ibu tuntut keadilan, arah dua peguam urus gali semula kubur

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Selepas dua minggu kematian tragis pelajar asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Zara Qairina Mahathir, ibunya, Noraidah Lamat, nekad mengambil langkah besar demi mendapatkan kepastian.

Beliau mengarahkan dua peguam menguruskan proses pembongkaran kubur anaknya untuk membolehkan bedah siasat dilakukan. Ini selepas pengebumian pada malam 17 Julai lalu dibuat tanpa sebarang bedah siasat, kerana tiada pihak mencadangkannya ketika itu.

“Saya mahu persoalan yang berlegar di kepala berhubung punca sebenar kematian anak saya bernoktah,” kata Noraidah yang kini menuntut jawapan daripada pihak berkuasa, selepas menyedari wujud unsur mencurigakan sehari selepas pengebumian.

Katanya, hanya hasil bedah siasat dan siasatan telus dapat menjawab segala persoalan dan menghentikan spekulasi yang semakin menyakitkan hatinya.

Baca juga:

Siasatan capai 60 saksi, Bukit Aman ambil alih kes

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, memaklumkan siasatan kini di peringkat akhir dengan keterangan 60 saksi telah diambil. Tiga individu dikenali sebagai ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’ turut dikaitkan dalam siasatan dan kes kini telah diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan lebih menyeluruh.

Zara, 13, ditemui parah di bawah bangunan asrama sekolah sekitar jam 3 pagi pada 16 Julai, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I keesokan harinya. Laporan awal mendakwa dia terjatuh dari tingkat tiga.

Namun, menurut Noraidah, wajah anaknya tidak cedera langsung, cuma badan berselirat dengan wayar perubatan. Doktor memaklumkan otak anaknya rosak teruk, hingga jika hidup sekalipun, tidak akan sempurna.

Ada aduan gangguan seksual, siasatan keluarga dipersoal

Zara pernah mengadu kepada ibunya tentang gangguan seksual oleh seorang pelajar asrama yang kemudiannya dilaporkan kepada guru kaunseling. Pelajar terbabit dikatakan diberi amaran dan tidak lagi mengganggu selepas itu. Namun, dakwaan buli lain yang tular di media sosial tidak dapat disahkan oleh keluarga memandangkan mereka tinggal lebih 100 kilometer dari sekolah.

Noraidah turut mempersoalkan siasatan yang menyentuh sejarah keluarga mereka di Sipitang, termasuk keperibadian Zara ketika sekolah rendah. Katanya, perkara itu tidak wajar dijadikan fokus kerana anaknya adalah seorang pelajar cemerlang yang ceria dan dikenali ramai di kampung halaman mereka.

“Saya mahu tahu punca sebenar kematiannya… Apa pun keputusan bedah siasat, saya reda, asalkan persoalan ini tidak terus tergantung,” tegas Noraidah.

Sumber: Berita Harian

Related Posts