Tular di media sosial video seorang penghantar makanan yang berdepan situasi panas dengan seorang peniaga di sebuah kedai nasi briyani di Sungai Kantan, Kajang.
Video kejadian yang tersebar memaparkan pertengkaran di antara rider tersebut dan peniaga yang didakwa menggunakan kata-kata kasar sehingga mencetuskan perhatian netizen.
Dalam video tersebut, penghantar makanan itu dilihat cuba berkomunikasi secara baik, namun peniaga bertindak balas dengan nada tinggi. Antara dialog yang dirakam termasuk peniaga yang berkata, “Tak payah! Tak payah! Kau ni bodoh! System dah nyatakan order reject! Tak boleh! Kau datang daripada Gombak ke, itu masalah kau!”.
Tindakan tersebut menyebabkan rider itu membalas, “Orang nak cakap elok-elok, yang kau menempik kenapa?”
Pertengkaran semakin memuncak apabila peniaga mengeluarkan kata-kata, “Kau stim ni!” yang kemudian dibalas oleh rider dengan nada kesal, “Aku stim apa benda kau?”.
Insiden itu turut menyaksikan seorang pelanggan (baju putih) di kedai cuba campur tangan untuk meleraikan situasi.
“Kita semua nak makan, tolong ye,”, sambil meminta rider tersebut meninggalkan premis bagi mengelakkan gangguan kepada pelanggan lain.
Isteri kepada peniaga terbabit turut dilihat menyalahkan penghantar makanan tersebut, “Awak dah ganggu semua orang, sedangkan akak sudah terangkan tadi. Sekarang orang nak makan la.”
Namun, penghantar makanan itu mempertahankan dirinya dengan menyatakan, “Kenapa salah saya pula ni?”
Sementara itu, ruangan komen di media sosial dipenuhi dengan pelbagai pendapat daripada netizen. Ada yang bersimpati dengan penghantar makanan itu dan mengkritik layanan kasar peniaga. – The Reporter








