Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Semalam tular satu kenyataan yang dipercayai daripada ibu kepada arwah Zayn Rayyan, yang berdoa agar pembunuh anak sulungnya itu keluar menyerah diri kepada pihak polis.
Menerusi hantaran di TikTok itu, Izzmanaf sangat berharap pembunuh Zayn Rayyan dapat dihadapkan ke muka pengadilan dan seterusnya menerima hukuman di atas perbuatan kejamnya itu.
“Ya Allah, dengan sesungguhnya dan dengan rendah hati, di hari Jumaat yang mulia ini, aku mohon keadilan buat anakku, Zayn Rayyan Bin Zaim Ikhwan di dunia ini juga Ya Allah, kasihanilah anakku Zayn Rayyan atas apa yang telah menimpanya.
“Kau keluarkanlah pelaku dari tempat persembunyiannya, Kau buatlah si pelaku menyerah diri dan mengaku bersalah. Hadapkanlah si pelaku ke muka pengadilan. Semoga si pelaku menerima hukuman di dunia ini, juga atas apa yang telah dia lakukan ke atas anakku Ya Allah,” tulisnya.
Terima balasan dari-Nya
Dalam hantaran lain pula, Izzmanaf turut berdoa agar pemfitnahnya menerima balasan dari Tuhan.
“Wahai pelaku, penganiaya mahupun pemfitnah sekalian. Sesungguhnya sudah aku adukan semuanya kepada penciptaku. Sekarang urusanmu bukan lagi denganku, tapi dengan penciptaku, Allah SWT.
“Pelakuan dan perkataanmu menembus hati, semoga doa-doaku menembus langit.
“Kalau kamu sudah hebat untuk menyakiti hati orang lain, bererti kamu sudah cukup kuat untuk menerima balasan dari-Nya,” tulisnya.
6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berdekatan rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Polis percaya mangsa telah dibunuh susulan keputusan bedah siasat menemui kesan kecederaan di leher dan badan mangsa.
13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada Disember 2024.
Sumber: TikTok Izzmanaf, Harian Metro