'Kau datang sini buat perangai kampung?!' - Gadis tegur lelaki buat gangguan seksual | The Reporter

‘Kau datang sini buat perangai kampung?!’ – Gadis tegur lelaki buat gangguan seksual

Gadis tegur lelaki buat ganggu seksual

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Siulan gangguan seksual atau ‘Catcall’ merujuk kepada tindakan seseorang yang membuat siulan berunsur seksual kepada individu, biasanya di tempat awam dengan niat untuk mengganggu, mengusik, atau memalukan mangsa. Tindakan ini dianggap sebagai gangguan verbal terhadap wanita yang tidak diingini dan boleh menimbulkan ketidakselesaan serta ketakutan, terutamanya kepada wanita.

Ia adalah salah satu bentuk gangguan seksual di tempat awam yang sering diabaikan, tetapi tetap memberikan kesan negatif terhadap emosi dan keselamatan individu yang menjadi mangsa.

Diganggu semasa ke tempat kerja

Khamis lalu, seorang wanita meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap gangguan berbentuk siulan gangguan seksual yang sering dialaminya semasa berjalan ke tempat kerja di Kuala Lumpur. Wanita berkenaan, yang dikenali sebagai @atiquh di platform X, memuat naik satu video di mana dia menegur dan memarahi dua lelaki yang telah mengganggunya secara verbal.

“Perkara ini dah kerap berlaku dan saya dah penat dengan orang yang berfikir mengganggu wanita di tempat awam itu sesuatu yang normal. Kepada lelaki, tolong jelaskan kepada saya kenapa ada lelaki yang buat macam ni pada wanita?” katanya.

Dia juga berkongsi hampir setiap minggu dia mengalami gangguan sedemikian semasa berjalan kaki ke tempat kerja terutama dari penunggang motosikal dan pemandu lori. Adakalanya, dia merasa dirinya diperhatikan dengan pandangan yang kurang menyenangkan.

Bukan tentang penampilan, tetapi harga diri

Dalam video itu, dia dengan berani menegur dua lelaki terbabit, sambil berkata tingkah laku keji mereka itu tidak sepatutnya dibawa ke ibu kota. Tetapi, lelaki berbaju merah menafikan tuduhan itu dan mendakwa rakannya yang berbuat demikian. Selepas bertikam lidah, akhirnya pelaku sebenar tampil memohon maaf.

Bagaimanapun, lelaki baju merah masih tidak berpuas hati kerana @atiquh telah menuduhnya tanpa bukti, malah menghinanya yang kononnya bersikap ‘kekampungan’. Tidak diketahui apa yang berlaku seterusnya.

Jelas @Atiquh, selama ini dia hanya mampu menunjukkan isyarat jari tengah sebagai tindak balas terhadap gangguan yang diterimanya.

“Menjadi seorang wanita sangat sukar kerana sentiasa ada rasa takut diperhatikan atau dijadikan objek oleh lelaki. Jangan datang kepada saya dan kata wanita patut duduk di rumah sahaja. Sekarang dah hampir 2025, bukalah minda dan lihat gambaran yang lebih besar,” katanya.

Dia juga menegaskan, isu ini bukan berkaitan rupa paras, tetapi lebih kepada harga diri wanita. @Atiquh menolak tanggapan bahawa pakaian menjadi punca gangguan, kerana meskipun berpakaian sopan, dia masih menjadi mangsa siulan gangguan seksual.

Lelaki takut bila ditegur

Menurutnya, lelaki yang melakukan gangguan ini menganggap wanita lemah, tetapi mereka sebenarnya takut apabila berdepan secara langsung. Individu yang membiarkan rakan-rakan mereka melakukan gangguan ini juga adalah sebahagian daripada masalah tersebut.

Justeru dia menyeru agar sesiapa yang berdepan dengan situasi ini untuk mengambil tindakan, walaupun hanya sekadar merakam atau menunjukkan isyarat. Dia berharap agar kesedaran gangguan seksual seperti ini dapat disebarkan kerana ia memberi kesan kepada ramai wanita setiap hari.

Related Posts