Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kisah yang dikongsikan oleh Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) menerusi akaun Facebook Mr Wan Cai Official mengenai jenazah bayi yang meninggal dunia dibekukan oleh pihak hospital swasta kerana si bapa tidak mampu membayar kos rawatan meruntun emosi ramai.
Susulan kisah berkenaan juga, ramai yang membuat spekulasi dan tertanya-tanya kisah sebenar yang berlaku.
Menerusi satu hantaran lain, UKVJ berkongsikan kisah yang diceritakan oleh bapa kepada bayi berkenaan.
Menurut bapanya, semasa kejadian, dia sudah dimaklumkan oleh rakan, isterinya sudah dihantar ke hospital. Ketika itu dia sudah memikirkan untuk menghantar isterinya ke hospital kerajaan, namun dia dimaklumkan pihak hospital, bukaan sudah 5 cm.
“Katanya nak bayar lepas bersalin pun boleh. Dia terus tolak isteri saya ke wad untuk tukar baju dan ambik darah dan terus tolak labour room.
“Dalam labour room pun tak lama tak sampai 30 minit, doktor keluar jumpa saya bagi tahu anak saya ada komplikasi sekian sekian yang memerlukan doktor pakar dan perlukan kos tinggi,” katanya.
Ketika anak dilahirkan, dia sempat azankan anak lelakinya itu dan melihat anaknya masih aktif. Namun, beberapa lama kemudian, doktor memaklumkan anaknya sudah meninggal dunia.
Katanya dia diberitahu oleh pihak hospital supaya membayar jumlah penuh dahulu sebanyak RM2480 sebelum keluarkan bayi dan isterinya.
Namun, apa yang menyedihkan, dia mendakwa doktor yang merupakan pemilik hospital berkenaan menghina isteri dan anaknya. Bukan itu sahaja, luka jahitan isterinya tidak diperiksa langsung dan tekanan darah tidak diperiksa dengan kerap.
“Kau dah lahirkan anak cacat, kau tak reti nak uruskan jenazah anak kau?” soal doktor berkenaan.
Menurutnya lagi, hasil sumbangan dari tempat kerja belum mencukupi untuk menjelaskan bil ketika itu, namun seorang pesakit di hospital berkenaan telah membantunya menyelesaikan bayaran bil berkenaan.
Dia kemudiannya menghubungi UKVJ pula untuk menguruskan jenazah anaknya.








