Kapal Malaysia pertama dilaporkan telah melalui Selat Hormuz, menurut kenyataan Kedutaan Iran di Malaysia menerusi hantaran di platform X.
“Kami telah menyatakan bahawa Republik Islam Iran tidak akan melupakan rakan-rakannya. Kapal Malaysia pertama telah melalui Selat Hormuz,” katanya.
Sebelum ini, Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi, berkata kapal Malaysia dibenarkan melalui laluan strategik itu tanpa sebarang caj susulan hubungan baik antara kedua-dua negara.
Beliau menjelaskan, pihaknya dimaklumkan mengenai kehadiran beberapa kapal Malaysia di Teluk Parsi serta hasrat untuk melalui Selat Hormuz dan perkara itu dipertimbangkan secara positif oleh Tehran.
Baca juga:
- Chef Zam minta hormati ruang Tun M
- FAM tuntut penjelasan FIFA isu masa tambahan Indonesia-Bangladesh
- Tular minyak masak paket Malaysia banyak dijual di Narathiwat, cetus persoalan
Kapal-kapal terbabit melibatkan tiga milik Petronas, dua milik MISC Berhad, serta masing-masing satu milik Sapura Energy dan Shapadu Corporation. Empat daripadanya dilaporkan membawa muatan minyak mentah.
Sebelum ini, Iran turut menzahirkan penghargaan terhadap Malaysia sebagai rakan dan mengiktiraf sokongan berterusan Kuala Lumpur ketika krisis Asia Barat semakin tegang.
Perkembangan itu menyusuli kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang mengucapkan terima kasih kepada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, kerana membenarkan kapal tangki minyak Malaysia melalui laluan tersebut yang sebelum ini berdepan risiko keselamatan susulan konflik di Asia Barat.








