Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
INDONESIA – Seorang lelaki dilaporkan maut selepas alat sulitnya disiram air panas oleh isterinya sendiri dalam kejadian di Bangka Tengah.
Insiden ini berlaku di sebuah rumah sewa pasangan berkenaan di Kampung Berok, yang dipercayai berpunca dari kemarahan isteri selepas mengetahui suaminya menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita lain.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bangka Tengah, Superintenden Imam Satriawan berkata, bahagian kemaluan mangsa disiram dengan air panas oleh isterinya. Lelaki yang cedera itu kemudian dikejarkan ke Hospital Daerah Abu Hanifah sebelum disahkan meninggal dunia.
Anak pasangan tersebut tampil memberikan penjelasan di media sosial, bagi meleraikan kekeliruan masyarakat yang mengikuti kes tersebut. Menurutnya, tindakan ibunya berpunca daripada emosi yang memuncak selepas mendapati ayahnya berlaku curang dengan seorang wanita lain.
Anak itu menceritakan, sebelum kejadian, ibunya sempat berjumpa wanita berkenaan dan meminta wanita tersebut menjauhi ayahnya. Namun, wanita itu enggan dan mendakwa mereka sudah bernikah secara rahsia, serta sedang mengandung.
Ketika si isteri sedang memasak air untuk merebus makanan, kata-kata wanita tersebut terngiang-ngiang di fikiran, lantas menyebabkan dia bertindak menyiram suaminya yang sedang tidur dengan air panas.
Pihak polis mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian ini dan telah melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Bangka Tengah, Superintenden Pradana Aditya Nugraha berkata, pihaknya sedang menyiasat motif sebenar tindakan isteri itu termasuk mengumpulkan keterangan saksi-saksi dan bantuan ahli forensik.
Setakat yang dilaporkan, belum ada keputusan forensik yang pasti mengenai punca kematian mangsa. – Agensi








