Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dilaporkan maut kerana terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Taman Daya, Johor Bahru pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kejadian berkenaan disedari oleh ahli keluarga mangsa yang juga suspek.
“Suspek merupakan sepasang suami isteri warga tempatan berusia 56 tahun dan 78 tahun dan memiliki hubungan rapat dengan mangsa,” katanya.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan bersama ahli keluarga baru selesai beriadah di kolam renang pangsapuri itu. Kemudian, mangsa dibawa balik ke rumah mereka di tingkat 16.
“Selepas itu, mangsa dibawa balik ke rumah di tingkat 16, pangsapuri berkenaan oleh kedua-dua suspek sementara menunggu ibu mangsa bersama ahli keluarga lain yang ke pusat dobi terletak di aras tujuh pangsapuri berkenaan.
“Ketika berada di dalam rumah, kedua-dua suspek meninggalkan mangsa bersendirian di ruang tamu untuk menunaikan solat.
“Selepas selesai menunaikan solat kedua-dua suspek mendapati mangsa tiada di dalam rumah dan hasil pencarian, kedua-dua suspek mendapati mangsa terjatuh di aras lapan pangsapuri itu,” katanya.
Tidak dipasang jeriji
Raub berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari aras 16 ke aras lapan pangsapuri itu menerusi tingkap bilik tidur yang terbuka serta tidak dipasang jeriji. Akibat insiden itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan maut di lokasi kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 memandangkan terdapat unsur-unsur pengabaian ke atas mangsa. Sehubungan dengan itu juga, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai insiden tersebut, dapat melaporkan kejadian pada pihak polis.
Sumber: Sinar Harian