Malang tak berbau. Seorang kanak-kanak lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU Intelektual hiper aktif) dilaporkan muat akibat digilis jentera pembajak dalam kejadian di Kampung Sungai Korok, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 6 petang, Muhammad Aiman Rosli, 11, ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap dalam lumpur, oleh penduduk kampung.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, siasatan awal mendapati, mangsa maut akibat terkena bilah jentera tersebut di kawasan bendang.
Difahamkan, mangsa terdahulu bersama dengan rakan sebayanya dipercayai mengekori rapat jentera itu untuk menangkap ikan menggunakan serkap dan kayu.
Mangsa berada di bahagian belakang traktor, manakala dua rakannya pula berada di bahagian depan traktor.
Pemandu jentera itu dikatakan sudah menegur tiga kanak-kanak berkenaan tetapi tidak diendahkan. 10 minit kemudian, pemandu menyedari mangsa tiada di belakang lalu memberhentikan jentera tersebut serta mengangkat bilah ke atas.
Sebaik saja diperiksa, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan di bahagian keala.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Harian Metro, Kosmo! Online