Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera dikelar di leher dalam kejadian di Kampung Parit Nipah Laut, Parit Raja, pada Isnin lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata siasatan awal pihaknya mendapati kejadian dipercayai dilakukan oleh abangnya berusia sembilan tahun. Mangsa turut mengalami beberapa kesan tikaman pada badan.
Difahamkan sebelum kejadian, mangsa dipercayai telah merosakkan telefon pintar milik abangnya menyebabkan kira-kira satu juta ‘mata’ yang dikumpul dalam permainan tersebut hilang.
Baca juga:
- Ucapan anak Allahyarham Dr Aiman sentuh hati ramai
- PN ucap tahniah kepada Vijay, puji kemenangan TVK di Tamil Nadu
- ‘Type M, C dan I bukan lagi gurauan, tapi kemarahan tersirat’ – Zahid Hamidi
Kanak-kanak itu dikatakan bermain permainan dalam talian secara berlebihan sehingga didakwa mengalami halusinasi pada waktu malam dan seolah-olah ‘disuruh’ mencederakan ahli keluarganya. Susulan itu, dia dipercayai mengambil sebilah pisau dan mencederakan adiknya.
Mangsa kini dirawat di Hospital Batu Pahat dan dilaporkan stabil. Namun, kenyataannya masih belum dapat dirakam kerana belum pulih sepenuhnya.
Kedua-dua beradik berkenaan kini berada di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala ibu bapa mereka direman selama dua hari sehingga Khamis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Polis memaklumkan kertas siasatan telah dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Johor untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, peguam suspek, Muhamad Izwan Ishak berkata, polis mendapati terdapat percanggahan maklumat antara kedua-dua suspek yang memerlukan polis melakukan siasatan lebih terperinci.
Sumber: Harian Metro








