Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, Muhammad Danish Mohd Faizal, yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu, di Taman Goodwood, Bukit Baru, ditemui lemas pada pagi Ahad.
Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang dan mayatnya ditemui terapung di Taman Desa Baru, kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi asal.
Difahamkan, seorang lelaki yang menemui mayat mangsa telah memaklumkan penemuan itu kepada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Melaka.
Menurut Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, mangsa ditemui dalam longkang selebar 4.6 meter (15 kaki) pada kedalaman hampir dua meter selepas operasi mencari yang berlangsung selama hampir 18 jam.
“Orang awam ada bagi maklumat kepada kami ada satu objek timbul di kawasan Taman Desa Baru, jadi kami hantar anggota ke lokasi dan membuat pemeriksaan dan mendapati objek tersebut adalah mayat kanak-kanak tersebut dan dalam keadaan sempurna.
“Kita keluarkan dan angkat ke kawasan lebih sesuai untuk melakukan identifikasi dan masa yang sama kita hubungi hospital dan polis. Selepas itu, mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.
Terdahulu media melaporkan mangsa disedari hilang kira-kira 3.30 petang sewaktu ibu bapanya sedang berniaga nasi kerabu di Taman Goodwood.
Mangsa ketika itu sedang bermain dengan abangnya berdekatan longkang yang dipenuhi air berikutan hujan lebat sejak tengah hari.
Hanya selipar mangsa sahaja yang kelihatan di kawasan berumput berdekatan dan keluarganya memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa setelah gagal mencarinya selama 20 minit.
Sumber: Bernama