Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
“Kami teraniaya….” Antara luahan pembeli rumah pangsapuri yang terletak di Gombak.
Menerusi satu perkongsian di TikTok, salah seorang wakil pembeli yang merupakan seorang orang kelainan upaya (OKU) meluahkan rasa sedih apabila projek perumahan belum dapat didiami setelah lima tahun menunggu.
Lagi menyedihkan apabila pinjaman menerusi Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) sudah dipotong selama tiga tahun.
Katanya, situasi berkenaan telah menyebabkan pembeli berasa terbeban dengan kewangan sedangkan rumah yang dijanjikan belum siap sepenuhnya.
“Selepas sekian lama menunggu dengan penuh harapan, melihat rumah idaman tidak siap atau terbiar begitu sahaja sangat meluluhkan hati.
“Ini lebih terasa apabila pembeli telah merancang masa depan di rumah tersebut, dengan harapan dapat membina kehidupan yang stabil dan selesa bersama keluarga.
“Pembeli rumah terpaksa menanggung kos yang tidak dijangka, seperti membayar ansuran pinjaman perumahan, sewa rumah sementara, dan perbelanjaan lain yang berkaitan,” katanya.
Susulan itu, pembeli mahukan tindakan dari pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu ini agar mereka dapat memiliki kediaman impian mereka seperti yang telah dijanjikan.
Sumber: Residensi Hektar Gombak








