Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, menyelar kenyataan Nazri Aziz yang mengkritik kepimpinan beliau dalam Umno. Tegas Akmal, Pemuda Umno tidak terdiri daripada golongan pengampu yang hanya mengejar kepentingan peribadi.
“Kami Pemuda (Umno) bukan penjilat mencari makan. Kami ada tanggungjawab untuk menjaga agama dan bangsa, bukan sibuk menjilat untuk kepentingan diri,” kata Akmal melalui hantaran di media sosial sebagai respons terhadap kenyataan Nazri.
Akmal turut menyindir Nazri dengan berkata, “Jika kamu nak menjilat, silakan. Jangan samakan kamu dengan kami. Mana tahu lepas ini boleh dapat jadi duta ke Myanmar pula.” Sindiran ini dilihat merujuk kepada jawatan diplomatik Nazri (Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat) yang tidak disambung selepas kontrak dua tahunnya berakhir.
Terdahulu, Nazri menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan menyindir kepimpinan Umno yang menurutnya tidak mempunyai calon pengganti yang kuat. Kenyataannya yang mempersoalkan kredibiliti Akmal dengan soalan sinis, “(Boleh) kamu beritahu saya siapa? Akmal?” mencetuskan reaksi kurang senang dari Ketua Pemuda itu.
Dalam respons balasnya, Akmal mempertikai sama ada Nazri benar-benar mewakili suara majoriti orang Melayu atau sekadar bercakap atas kapasiti peribadi.
“Saya nak tanya juga, adakah kamu mewakili sebahagian besar suara orang Melayu? Mungkin kamu dah lupa, yang kamu bukan berada di Amerika lagi sebab kontrak tidak disambung lagi,” katanya.
Nazri yang pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pemuda Umno pada 1993 dan memangku jawatan Ketua Pemuda pada 1994 hingga 1996, kini dilihat lebih cenderung menyokong kepimpinan Anwar berbanding parti lamanya.
Sumber: MalaysiaKini








