'Kami hanya cari perlindungan sementara bukan untuk mencuri atau ambil alih negara ini' - Presiden Rohingya Malaysia - The Reporter

‘Kami hanya cari perlindungan sementara bukan untuk mencuri atau ambil alih negara ini’ – Presiden Rohingya Malaysia

Sumber gambar: Free Malaysia Today

Kehadiran pelarian Rohingya ke Malaysia bukan bermotif untuk mengancam atau merampas hak rakyat di negara ini. Sebaliknya ujar Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhom), Zafar Ahmad Abdul Ghani, mereka adalah mangsa perang. Yang terpaksa melarikan diri dari negara asal Myanmar bagi mencari perlindungan di Malaysia.

“Kami datang ke sini bukan untuk mencuri pekerjaan penduduk tempatan atau mengambil alih negara ini.

“Kami datang ke sini, hanya mencari perlindungan buat sementara waktu. Sehingga Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menemui jalan penyelesaian yang tuntas buat kami,” katanya.

Tambahnya, ketika dunia menyambut Hari Hak Asasi Manusia, sudah tiba masanya juga untuk dunia menghentikan aktiviti xenophobia dan kempen kebencian terhadap pelarian.

“Memandangkan komuniti yang mudah terdedah seperti pelarian, pendatang dan penduduk tanpa kerakyatan sedang menghadapi xenofobia dan ucapan kebencian yang berterusan di seluruh dunia. Adalah penting untuk dunia mengetahui tentang kewujudan mereka. Bagi memastikan keselamatan dan maruah semua manusia sejagat perlu dijamin dan dipelihara,” katanya.

Kerjasama untuk kesejahteraan semua manusia

Dalam pada itu, Zafar menyeru kepada semua negara anggota Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), masyarakat sivil dan warga global untuk bekerjasama bagi memastikan kesejahteraan untuk semua manusia.

“Marilah bersama-sama kita menjamin kebebasan, kesaksamaan dan keadilan untuk semua,” katanya.

Tegasnya lagi, peperangan bukanlah jalan kepada penyelesaian sesuatu konflik sebaliknya ia perlu ditangani di meja rundingan secara kolektif dan berterusan.

“Jalan akhir yang ada ialah menerusi tindakan undang-undang melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!